MADRID, 27 FEB – Kevin De Bruyne menjadi arkitek kebangkitan penuh dramatik Manchester City semalam apabila mereka mengejutkan Real Madrid dengan kemenangan 2-1 di Santiago Bernabeu untuk melangkah setapak lagi ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Madrid dilihat akan memenangi perlawanan selepas penyudahan kemas daripada pemain perancang, Isco, meletakan Madrid di hadapan pada awal separuh masa kedua. Tetapi De Bruyne membuat hantaran kepada Gabriel Jesus dan hantaran tersebut ditanduk masuk menewaskan penjaga gol Madrid pada minit ke-78.
Selang lima minit kemudian kapten City berjaya menjaringkan gol dari sepakan penalti.
Di penghujung perlawanan yang mendebarkan, ketua pasukan Madrid, Sergio Ramos telah dibuang padang selepas menghalang Jesus dari mara ke hadapan dan pertahanan Sepanyol tersebut akan terlepas perlawanan timbal balik di Stadium Etihad pada 17 Mac nanti.
City dengan kelebihan dua gol di tempat lawan, pastinya akan menjadi pasukan pilihan untuk mara, walaupun pengurus Pep Guardiola dengan pantas memberi respons agar tidak cepat berpuas hati.

“Ia masih belum berakhir,” kata beliau. “Sekiranya ada satu pasukan yang dapat mengatasi, inilah kelabnya (Real Madrid) yang mempunyai banyak pengalaman dan sejarah mereka tersendiri.”
“Kami tahu situasi ini,” kata pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane. “Kami perlu ke sana dan memenanginya.”
Madrid hanya berjaya memenangi satu dari lima perlawanan terakhir mereka, dengan perlawanan El Classico berdepan dengan Barcelona di La Liga pada Ahad ini.
“Kami dalam keadaan yang tidak memberangsangkan tetapi kami akan pulih daripadanya,” menurut Zidane.
“Perlawanan Ahad ini adalah peluang untuk kami mengubahnya.” – AFP