MANCHESTER, 2 APRIL – Manchester City tetap beraksi cemerlang walaupun tidak dapat menurunkan Erling Haaland yang mengalami kecederaan selepas mereka bangkit dari ketinggalan untuk membelasah Liverpool 4-1.
Jaringan Julian Alvarez, Kevin De Bruyne, Ilkay Gundogan dan Jack Grealish kembali meletakkan penyandang juara ke landasan tepat apabila hanya dibezakan lima mata dengan Arsenal yang berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).
City dan Liverpool kedua-duanya menamatkan saingan di dua kedudukan teratas dalam empat daripada lima aksi EPL sebelum ini.
Bagaimanapun, The Reds bergelut untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan selepas kempen yang mengerikan dan diberi satu lagi pengajaran bahawa mereka perlu kembali merapatkan jurang jika mahu menjadi pencabar.
Kekalahan yang menyedihkan itu menyebabkan pemain Jurgen Klopp masih ketinggalan tujuh mata daripada empat kelompok teratas dengan berada di tempat keenam.
“Tiada ada apa-apa yang berubah. Kualiti, taktik bola sepak ditentukan oleh pemain dan apabila kami mempunyai Erling, kami ada sesuatu yang istimewa, tetapi Julian Alvarez juga istimewa.
“Dia amat bijak mengawal bola dan seorang pemain yang luar biasa. Kelab membuat pembelian yang berbaloi.
“Dia muncul juara dunia bersama Lionel Messi kerana dia memiliki sesuatu,” kata Guardiola selepas kemenangan ke-100 di Etihad bersama City.
Kecederaan pangkal paha bermakna Haaland hanya memerhati perlawanan dari tempat duduk penonton bersama bapanya, Alfie Haaland yang juga bekas pemain tengah City. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P22-Capture_03042023.jpg)