Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    City berputih mata, sekadar seri bertemu RB Leipzig

    LEIPZIG, 23 FEB – Bek tengah RB Leipzig, Josko Gvardiol (gambar-AP) menjaringkan gol menerusi tandukan pada separuh masa kedua, membatalkan jaringan Riyad Mahrez untuk seri 1-1 menentang Manchester City dalam pertembungan 16 terakhir Liga Juara-Juara, kelmarin.

    Salah seorang bintang cemerlang Piala Dunia Qatar sebagai tonggak pertahanan Croatia, Gvardiol menunjukkan bakat menyerangnya, melonjak tinggi mengatasi pertahanan City, menanduk masuk bola ke gawang untuk gol penyamaan pada minit ke-70.

    City mendahului selepas 27 minit menerusi Mahrez dan mengharapkan kemenangan selesa di tempat lawan tetapi hampa selepas rehat dalam perlawanan pertama.

    Pasukan tuan rumah, yang hanya tewas sekali dalam 20 perlawanan terakhir mereka, menemui rentak permainan pada separuh masa kedua dan melihat pasukan itu berkemungkinan besar akan menuju ke Etihad untuk perlawanan timbal balik.

    Penyerang bintang City, Erling Haaland kurang berbisa pretstasinya, dengan pemain Norway itu amat terasa ketiadaan khidmat pemain tengah Kevin de Bruyne kerana sakit.

    City mendominasi penguasaan bola pada suku pertama perlawanan, tetapi gagal mencipta sebarang peluang menentang pasukan tuan rumah yang mengatur strategi lebih kemas dan mantap.

    “Pada akhirnya, kami sedikit gementar, jurulatih memberitahu kami untuk bertenang, ada 90 minit lagi untuk bermain,” kata Mahrez.

    Jurulatih Leipzig, Marco Rose menambah: “Dua masa perlawanan yang sangat, sangat berbeza.

    “Kami tidak banyak menghasilkan peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama, hanya mengejar bola, mengawal bola agak teruk apabila mendapatnya. Yang kedua agak berbeza, kami lebih baik ketika mengawal bola, bangkit dengan lebih baik dan bermain seperti yang kami bayangkan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda