Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    City catat rekod luar biasa

    NEWCASTLE, 28 Dis – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji kesungguhan pemainnya selepas mereka mencatat 18 kemenangan berturut-turut dengan menewaskan Newcastle 1-0 United, di sini, sebentar tadi.

    Pasukan kendalian Guardiola kini kelebihan 15 mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Manchester United, hasil jaringan tunggal Raheem Sterling pada separuh masa pertama.

    City menguasai sepenuhnya permainan selepas Newcastle berusaha keras mengekang asakan pasukan pelawat.

    Corak bertahan yang diterapkan The Magpies itu bagaimanapun hampir memberikan mata buat mereka apabila tandukan Dwight Gayle sedikit tersasar di akhir perlawanan.

    Bagi Guardiola, dia mengakui taktik bertahan Newcastle itu memberi kesukaran dalam perlawanan namun beliau memuji usaha keras anak buahnya.

    Raheem Sterling (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan untuk City di St James Park awal pagi semalam. – AP

    “Kami melakukan segala-galanya tapi ia sukar untuk bermain apabila satu lagi pasukan tidak mahu bermain,” katanya.

    “Kami mencipta peluang yang cukup untuk menang 2-0, 3-0, 4-0. Tapi pada minit akhir permainan kami terikut-ikut rentak mereka dan ia bukan mudah kerana kedudukan kami belum selamat dengan jaringan 1-0.

    “Anda perlu menjangkakan situasi seperti ini dan ia bukan mudah untuk mengekalkan tahap permainan tinggi.

    “Mana-mana pengurus boleh memutuskan apa yang mereka mahukan. Saya lebih berminat untuk bermain tapi saya menghormati apa yang pasukan lawan lakukan dan kami akan mencari jalan bagaimana untuk menyerang mereka.”

    Jaringan kemenangan Sterling memperlihatkan kebangkitan pemain sayap England itu musim ini.

    “Raheem Sterling menjaringkan banyak gol dan bermain baik jadi kami gembira dengan perkembangan itu,” kata Guardiola.

    “Kami sekarang 15 mata di depan dan kami boleh fokus perlawanan seterusnya menentang Crystal Palace.”

    City dilihat sukar digugat untuk merangkul kejuaraan namun pemain tengah, Bernardo Silva tidak mahu hanyut dengan kenyataan itu.

    “Kami perlu terus berusaha seperti dilakukan sejak awal musim,” katanya.

    “Kami belum bergelar juara. Sekarang baru Disember. Kami masih perlu bermain dengan semangat yang sama untuk memenangi perlawanan.”

    Sementara itu, Pep Guardiola enggan memulakan ‘peperangan mulut’ dengan pengurus Manchester United Jose Mourinho.

    Baru-baru ini pengurus United itu cuba untuk melakukan provokasi terhadap Guardiola mengenai City yang membuat perbelanjaan besar dan menyatakan ‘City membeli pemain pertahanan dengan harga penyerang’ sekali gus mengakui bahawa perbelanjaan yang dianggarkan bernilai AS$402 juta sejak menjadi pengurus United 18 bulan yang lalu adalah tidak cukup.

    Musim lepas, Mourinho berbelanja 93 juta pound untuk mendapatkan pemain tengah Perancis Paul Pogba sementara mendapatkan pemain pertahanan Eric Bailly dengan harga 30 juta pound dan pemain tengah Henrikh Mkhitaryan dengan harga 26.3 juta pound.

    Tahun ini, United mendapatkan Romelu Lukaku dengan harga 75 juta pound diikuti dengan Victor Lindelof 31 juta pound dan Nemanja Matic 40 juta pound.

    Manakala City telah membeli tiga pemain pertahanan iaitu Kyle Walker dari Tottenham dengan harga 45 juta pound, Benjamin Mendy dari Monaco 52 juta pound dan Danilo dari Real Madrid berharga 26.5 juta pound.

    Apabila ditanya mengenai komen yang diberikan oleh pengurus dari Portugal itu, Guardiola berkata: “Saya berbesar hati untuk bercakap mengenai apa yang berlaku dalam padang.

    “Mengenai sahabat saya yang bercakap di luar padang dalam sidang media, saya bukan orangnya. Anda bercakap mengenai apa yang berlaku dalam padang, saya akan jawab.”

    City berdepan lapan perlawanan dalam masa 34 hari sebelum tahun baru dan Guardiola menambah: “Sudah tentu kami berpuas hati selepas memecahkan rekod tetapi apabila kami bersedia untuk perlawanan, kami tidak akan bercakap mengenainya. Sehingga sekarang, kami mempunyai kaedah untuk menang.

    “Saya melihat jadual di pejabat beberapa hari ini dan saya mahu keluar kerana ia sangat teruk. Kami berdepan perlawanan yang sukar.

    “Kami telah beraksi pada bulan Disember kemudian Januari anda mempunyai Piala Carabao, Piala FA dan kembali untuk saingan Liga Juara-Juara pada Februari nanti. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda