Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    City, Chelsea buru pendahulu liga

    LONDON, 1 NOV – Manchester City dan Chelsea semakin dekat memburu puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin manakala Sheffield United dan Burnley terus gagal mencatat sebarang kemenangan yang kini berada di kedudukan bawah liga.

    City masih belum mencapai prestasi gol bertubi-tubi seperti semasa berada di puncak mereka, selepas tiga perlawanan liga hanya menjaringkan mata gol yang rendah.
    Tetapi percubaan jarak jauh Kyle Walker ke atas bekas pasukannya sudah cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 ke atas Sheffield United.

    Empat kemenangan dari lima perlawanan dalam semua kejohanan telah meletakkan City di kedudukan kelapan tetapi hanya dibezakan dua mata dengan pendahulu bersama iaitu Everton, Liverpool dan Wolves.

    City turut menerima berita gembira selepas perlawanan di mana Pep Guardiola menafikan untuk pulang ke Barcelona meskipun terdapat minat dari calon presiden di gergasi Catalan untuk membawa pulang jurulatih yang paling cemerlang ke Camp Nou.

    “Saya mengatakan berkali-kali, tempoh saya sebagai pengurus di Barcelona sudah berakhir,” kata Guardiola dan kontrak di Etihad bakal mansuh pada penghujung musim ini.

    Aksi Kyle Walker membuat hantaran semasa pertemuan menentang bekas pasukannya, Sheffield United.- AP

    “Saya sangat gembira di sini, saya masih ada keinginan untuk melakukan lebih baik dan itu adalah perkara yang paling penting.”

    Di atas padang, banyak perkara positif yang dapat diambil untuk City dengan gandingan bek tengah yang baharu, Aymeric Laporte dan Ruben Dias yang memainkan peranan masing-masing untuk mencatat keputusan tanpa bolos dalam dua perlawanan berturut-turut.

    Walau bagaimanapun, tanpa pen-yerang Sergio Agureo dan Gabriel Jesus yang tercedera, City bergelut untuk menukar penguasaan bola kepada gol.

    “Kami bermain cukup baik,” tambah Guardiola. “Kami bergelut untuk menjaringkan gol dengan peluang yang kami cipta, 16 percubaan, lapan menepati sasaran, ia adalah angka yang banyak menentang pasukan seperti ini.”

    Walker merupakan pemain yang kurang dijangkakan untuk menjaringkan gol kemenangan dengan gol pertamanya tahun ini dalam penampilan ke-100 bersama City.- AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda