LONDON, 20 JUN – Manchester City telah didenda lebih daripada £1 juta oleh Liga Perdana kerana lambat melaksanakan sepak mula dalam sembilan perlawanan musim lalu.
Pegawai Liga Perdana Inggeris mengumumkan pada kelmarin bahawa pasukan Pep Guardiola telah melanggar peraturan sekitar waktu sepak mula dan waktu mula semula atau restart antara Oktober dan Februari.
Kelewatan paling lama ialah dua minit dan 24 saat sebelum perlawanan derby Manchester di Old Trafford disambung semula pada Disember.
Liga Perdana berkata City telah menerima hukuman berkenaan dan memohon maaf.
Jumlah denda berjumlah £1.08 juta atau AS$1.45 juta.
“Peraturan berkaitan dengan sepak mula dan mula semula membantu penganjuran pertandingan ditetapkan pada standard profesional tertinggi dan memberikan kepastian kepada peminat dan kelab yang mengambil bahagian,” kata kenyataan Liga Perdana.
“Ia juga memastikan siaran setiap perlawanan Liga Perdana dipastikan mengikut jadual.”
Insiden berkenaan bukanlah kali pertama dilakukan oleh City. Kelab tersebut pernah didenda lebih daripada £2 juta tahun lepas kerana 22 pelanggaran peraturan sepak mula dan mula semula.
Pasukan Guardiola menduduki tempat ketiga dalam Liga Perdana musim lalu apabila tempoh empat tahun mereka sebagai juara berakhir.
City, yang turut mengalami kekalahan mengejut di final Piala FA menentang Crystal Palace, kini beraksi di Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat. – AFP