TOKYO, 25 JULAI – Manchester City ‘berazam’ untuk menghalang Kyle Walker daripada berpindah ke Bayern Munich, kata Pep Guardiola hari ini, dengan menggambarkan pemain pertahanan itu sebagai pemain penting dalam pasukan tersebut.
Walker diturunkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara apabila City melengkapkan kemenangan bersejarah bulan lalu dan juara Jerman itu berminat untuk membawanya ke Munich.
Namun, menjelang perlawanan City bertemu Bayern di Tokyo hari ini, Guardiola menegaskan bahawa “pemain berusia 33 tahun itu adalah pemain yang sangat penting bagi kami.”
Walker mempunyai kebolehan yang sangat unik dan sukar dicari di seluruh dunia. Saya tahu kami berhubung dengan kedua-dua kelab,” kata Guardiola kepada wartawan.
“Kami akan berjuang untuknya, dan saya yakin Bayern juga akan berbuat demikian. Saya tidak pasti bagaimana segalanya akan berakhir.”

Guardiola menegaskan dengan yakin bahawa Walker masih akan dipertimbangkan untuk bermain menentang Bayern, dengan berkata, “Tentu saja, dia adalah pemain kami.
“Kami memerlukan pemain terbaik. Dia adalah pemain kami dan kami berharap dia akan berada bersama kami sepanjang musim ini, jadi mengapa dia tidak bermain?” tegas Guardiola.
Selain itu, pemain Liga Perdana Inggeris lain yang menjadi tumpuan Bayern adalah penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane.
Juara Jerman itu dikatakan bertekad untuk mendapatkan tandatangan penjaring terbanyak England itu, yang kontraknya bersama Spurs akan tamat pada tahun 2024. – AFP