LONDON, 5 JUN – Manchester City telah bersetuju dengan AC Milan untuk mendapatkan pemain tengah Belanda, Tijjani Reijnders – pembelian besar pertama mereka pada jendela perpindahan musim panas, menurut laporan hari ini.
Juara Liga Perdana tersebut dijangka membayar 55 juta euro (AS$63 juta) untuk pemain berusia 26 tahun itu, yang difahamkan telah bersetuju dengan kontrak lima tahun, dengan dokumen perjanjian masih belum dimuktamadkan.
City berharap dapat menyelesaikan perjanjian untuk pemain antarabangsa Belanda itu tepat pada masanya bagi Piala Dunia Kelab FIFA di Amerika Syarikat, yang bermula pada 14 Jun.
Reijnders menyertai AC Milan dari AZ Alkmaar pada 2023 dan menjaringkan 15 gol untuk kelab Itali itu pada 2024/25.
Dia akan meningkatkan pilihan bahagian tengah Pep Guardiola berikutan pemergian Kevin De Bruyne.
Pemain antarabangsa Belgium itu dijangka tidak akan terlibat di Piala Dunia Kelab, yang berkemungkinan berpindah ke juara Serie A, Napoli.
Pemain tengah, Mateo Kovacic, telah diketepikan daripada kejohanan selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan pada bahagian kaki.
Pasukan kendalian Pep Guardiola mengharungi kempen 2024/25 yang mengecewakan, menduduki tempat ketiga dalam Liga Perdana dan gagal memenangi trofi buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun. – AFP


