MANCHESTER, ENGLAND, 3 NOV – Kyle Walker menjadi penyelamat Manchester City apabila berjaya mengubah kedudukan seri kepada 2-1 ketika menjaringkan satu gol pada perlawanan yang penuh aksi antara Manchester City dan Southampton dalam Liga Perdana Inggeris, kelmarin.
Selepas tewas dalam perlawanan liga terakhirnya 9-0 ke atas Leicester, Southampton mengejutkan City apabila James Ward-Prowse berjaya menyumbat gol pembukaan pada minit ke-13 dalam perlawanan tersebut.
Southampton terus mengekalkan tahap permainan dengan begitu rapi sekali, bagaimanapun benteng pasukan itu akhirnya berjaya dipecahkan apabila City kembali bangkit menyamai kedudukan hasil tendangan Sergio Aguera pada minit ke-70, sekali gus menyamai kedudukan dengan jaringan 1-1.
Kedudukan seri itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila City terus melakukan asakan demi asakan sehingga berjaya menembusi gawang gol Southampton di minit ke-86, hasil jaringan Walker yang sekali gus mengubah kedudukan dan mendahului perlawanan dengan keputusan 2-1.
“Kami terjebak dengan pelan permainan kami, tetapi kami terus bertahan dan ia berjaya di mana kami semakin hampir mengumpul tiga mata,” kata Walker.
Walker menambah pada awalnya pasukannya kelihatan sedikit kecewa apabila melihat kedudukan gaya permainan Southampton yang menjaringkan gol pembukaan.
Sebelum Walker dan Aguero kembali bangkit menjulang kedudukan City, kekecewaan pasukan itu jelas kelihatan.
Bagaimanapun, pasukan itu tetap terus bersemangat dan bangkit mengejar kedudukan, sekali gus berjaya memenangi perlawanan tersebut. – AP
