BURNLEY, 29 April – Manchester City masih mengawal pemburuan gelaran Liga Perdana selepas skuad Pep Guardiola menang 1-0 mengatasi Burnley semalam.
Jaringan ke-31 Sergio Aguero musim ini melintas sedikit di garisan gol sebelum dikeluarjkan Matthew Lowton, namun teknologi garisan gol membenarkan gol berkenaan dan City kini satu mata di depan Liverpool berbaki dua perlawanan buat kedua-dua pasukan.
Buat kali pertama dalam sebulan, penyingkiran City daripada Liga Juara-Juara bermakna mereka ada rehat pada pertengahan minggu untuk bersedia bagi dua perlawanan terakhir di laman sendiri menanti Leicester Isnin depan dan ke Brighton pada hari terakhir musim.
Citizens kini sudah menang 12 perlawanan berturut-turut dalam Liga Perdana dan terbukti menampilkan watak juara dengan persembahan dominan pada babak kedua selepas terikat tanpa jaringan pada 45 minit pertama.
Tom Heaton melakukan beberapa aksi menyelamat terutama menerusi cubaan Aguero dan Bernardo Silva, manakala pelawat juga meminta penalti kerana bola terkena tangan Ashley Barnes.
Bagaimanapun City akhirnya memecah kebuntuan hanya selepas sejam apabila cubaan Aguero dikeluarkan Lowton namun bola sudah melepasi garisan. Dalam pada itu, Guardiola mengiktiraf Sergio Aguero sebagai ‘legenda’ selepas penyerangnya itu menjadi pemain pertama sejak Thierry Henry meledak 20 gol dalam lima kempen Liga Perdana Inggeris berturut-turut.
Aguero menjaringkan gol pada minit ke-63 bagi mengesahkan kemenangan 1-0 Manchester City ke atas Burnley di Turf Moor, semalam sekali gus membawa penyandang juara Inggeris itu kembali ke puncak liga. – AFP