Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

     City kini semakin ‘mudah dikalahkan’ – Gross

    MANCHESTER, 5 NOV – Pemain tengah Borussia Dortmund, Pascal Gross, berkata lawan Liga Juara-Juara esok, Manchester City, kini ‘lebih mudah dikalahkan’ berbanding semasa beliau di England.

    Gross, yang berucap kelmarin di Manchester, menghabiskan tujuh tahun di Brighton sebelum berpindah ke Dortmund pada tahun 2024.

    Semasa pemain antarabangsa Jerman itu berada di Liga Perdana, City menjulang gelaran Inggeris dalam semua perlawanan kecuali satu perlawanan.

    “Buat masa ini, saya rasa mereka lebih mudah dikalahkan berbanding beberapa tahun yang lalu,” kata pemain berusia 34 tahun itu kepada pemberita.

    City berada di tempat ketiga liga musim lalu, 13 mata di belakang juara Liverpool, dan kini sudah enam mata di belakang pendahulu liga, Arsenal setelah 10 perlawanan.

    “Saya fikir mereka sedang menjalani tempoh peralihan tertentu. Ramai pemain mantap yang berperanan penting dan lama dalam City telah meninggalkan kelab itu,” kata Gross.

    “Tetapi mereka masih mempunyai pemain bertaraf dunia dalam barisan mereka. Mereka mungkin dalam fasa ubahsuai semula.”

    Gross memuji penyerang City, Erling Haaland yang menghabiskan dua setengah tahun di Dortmund sebelum berpindah ke City pada 2022,

    Haaland berada dalam prestasi yang cemerlang dengan 26 jaringan dalam 16 perlawanan untuk kelab dan negara setakat musim ini.

    Namun Gross menolak cadangan bahawa City terlalu bergantung pada penyerang Norway itu.

    “Sudah tentu, dia seorang pemain bertaraf dunia dengan rekod yang luar biasa. Tetapi awda perlu menghentikannya secara kolektif. Kita perlu sama-sama menghalangnya (selain) berjaga-jaga dengan kualiti City yang sangat tinggi dalam setiap posisi.”

    Dormund dan City telah menang dua kali dan seri sekali daripada tiga perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara mereka.

    Jurulatih Dortmund, Niko Kovac, berkata pasukannya akan “tetap setia dengan gaya permainan kami” walaupun Haaland berbahaya.

    “Erling Haaland, kita perlu memerhatikannya,” tambah jurulatih dari Croatia itu. “Tetapi jika kami hanya berkurung di bahagian pertahanan esok, ia juga akan menjadi sukar kerana City mempunyai kualiti untuk memecahkan pasukan.

    “Kami mahu cuba mengubah rentak dan jauhkan ancaman daripada gawang kami. Jadi, kami akan kekal setia pada cara kami.” – AFP

    Pascal Gross semasa sidang akhbar di Stadium Etihad di Manchester, barat laut England kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda