Sunday, May 4, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    City mara peringkat kalah mati

    MANCHESTER, 8 NOV – Manchester City berjaya mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara tatkala Erling Haaland melenyapkan kebimbangan mengenai kecergasannya dengan dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas pasukan Switzerland, Young Boys, awal pagi tadi.

    Pasukan kendalian Pep Guardiola itu telah memenangi keempat-empat perlawanan Kumpulan G mereka, memastikan mereka mara ke pusingan 16 terakhir dengan baki dua perlawanan.

    Haaland kembali cergas untuk memulakan perlawanan di Stadium Etihad selepas mengalami kecederaan buku lali pada separuh masa pertama perlawanan City menentang Bournemouth yang berakhir dengan keputusan 6-1 pada Sabtu lalu.

    Penyerang Norway itu membuktikan bahawa kecederaan tidak lagi menjadi masalah setelah dia mencipta 39 gol Liga Juara-Juara dalam 34 perlawanan.

    Dia meletakkan City di depan dengan sepakan penalti pada separuh masa pertama dan meledak gol sekali lagi dengan percubaan jarak jauh yang cemerlang selepas jaringan menarik Phil Foden menggandakan kedudukan juara bertahan.

    Young Boys pula kehilangan pemain apabila Sandro Lauper dibuang padang pada separuh masa kedua perlawanan yang dikuasai sepenuhnya oleh City, sekali gus mengekalkan rekod mereka yang cemerlang dengan memenangi kesemua 23 perlawanan di tempat sendiri pada 2023.

    Rekod kemenangan berturut-turut dalam Liga Inggeris dipegang oleh Sunderland dengan 24 perlawanan pada tahun 1891 dan 1892.

    City juga masih kekal tanpa kalah dalam 17 perlawanan terakhir Liga Juara-Juara dan Guardiola kini berpeluang untuk merehatkan pemain utama dalam dua perlawanan kumpulan terakhir jika dia mahu, memberikan keutamaan kepada perlawanan Liga Perdana menentang Tottenham dan Crystal Palace. – AFP

    Haaland meraikan kemenangan gol pertama pasukannya semasa perlawanan Liga Juara-Juara UEFA di Stadium Etihad di Manchester, barat laut England, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda