BRATISLAVA, 2 OKT – Dengan Haaland terus mencetak jumlah gol lebih tinggi berbanding perlawanan dalam Liga Juara-Juara, prestasi penyerang lain turut memberi lebih kepuasan kepada pengurus Manchester City, Pep Guardiola kelmarin.
Persembahan Phil Foden di ibu negara Slovakia, dengan satu jaringan, bantuan yang hebat dan banyak lagi sukar untuk diabaikan setelah kembali beraksi dari rehat berpanjangan selepas membantu England mara ke final Kejohanan Eropah yang lalu.
Ini hanyalah permulaan kedua dalam semua pertandingan untuk Foden, pemain terbaik musim lalu dalam bola sepak Inggeris. Dunia mungkin akan melihat Foden pada tahap terbaiknya sekali lagi.
Penyudahnya untuk gol kedua City melalui satu rembatan yang tenang, rendah, melencong ke sudut adalah jenis jaringan klasik dari Foden.
“Ia adalah tandatangan saya, sejujurnya,” kata Foden. “Merembat bola dari kaki saya mencari sudut jauh.”
Dia turut membuat hantaran melepasi barisan belakang Slovan kepada James McAtee untuk melengkapkan jaringan kemenangan pada malam yang selesa untuk juara Inggeris itu.
“Gembira untuk menjaringkan gol lagi tetapi lebih penting untuk menikmati bola sepak saya,” kata Foden. “Gembira dengan keputusan dan cara saya bermain.
“Saya mempunyai permulaan yang sangat perlahan untuk musim ini dengan sedikit penyakit dan sedikit keletihan tetapi saya sudah kembali sekarang dan berasa lebih seperti diri saya sendiri.”
Foden menamatkan perlawanan sebagai penyerang tengah City, peranan yang mungkin perlu dia pikul apabila Haaland tiada memandangkan pasukan itu menjual penyerang pelapis Julian Alvarez pada musim panas lalu.
Haaland digantikan pada minit ke-60 selepas menjaringkan gol ketiga City, meletakkannya 42 gol dalam 41 penampilan dalam pertandingan kelab elit Eropah.
Tetapi perlawanan kali ini lebih kepada Foden yang menunjukkan betapa pentingnya dia untuk City dan Guardiola. – AP