Monday, July 14, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    City menang selesa

    PHILADELPHIA, 19 JUN – Phil Foden menjaringkan gol seawal minit kedua untuk membantu Manchester City meraih kemenangan selesa 2-0 ke atas Wydad Casablanca dalam perlawanan pembukaan mereka di Piala Dunia Kelab, kelmarin.

    Jeremy Doku juga menjaringkan gol sebelum rehat di Lincoln Financial Field di Philadelphia, di mana majoriti daripada 37,446 penonton menyokong City namun sorakan paling kuat datang daripada penyokong kelab Maghribi itu.

    Aksi itu sedikit terjejas buat City apabila Rico Lewis dibuang padang kerana terjahan berbahaya, tetapi Pep Guardiola tetap berpuas hati dengan permulaan kemenangan itu.

    “Cuaca sangat panas. Kelembapan tinggi memang mencabar. Kami beraksi dengan baik pada beberapa ketika, ramai pemain baharu diturunkan. Perlawanan pertama dalam peringkat kumpulan ini sentiasa penting. Saya lihat banyak perkara positif,” kata Guardiola.

    City telah tiba ke Piala Dunia Kelab dengan azam untuk membuka lembaran baharu selepas musim yang mengecewakan.

    Ujian lebih sukar menanti selepas berdepan pasukan yang menduduki tempat ketiga dalam liga Maghribi, dengan kelab Inggeris itu seterusnya berdepan Al Ain dari Emiriah Arab Bersatu sebelum melengkapkan Kumpulan G menentang Juventus.

    Guardiola menggunakan peluang itu untuk menurunkan barisan percubaan, dengan pemain baharu Tijjani Reijnders dan Rayan Cherki membuat penampilan sulung manakala pertahanan remaja Vitor Reis membuat penampilan ketiganya sejak tiba Januari lalu.

    “Langkah pertama sudah selesai, ia sangat penting. Sekarang kami mempunyai masa pemulihan, kami akan berlatih dengan baik dalam beberapa hari akan datang dan perlawanan seterusnya untuk memperbaiki keadaan.

    “Kami mempunyai ramai pemain baharu, pemain cedera sudah kembali, dan langkah demi langkah kami akan mencapai rentak yang betul,” tambah Guardiola. – AFP

    Phil Foden menjaringkan gol seawal minit kedua untuk membantu Manchester City meraih kemenangan selesa ke atas Wydad Casablanca dalam perlawanan pembukaan mereka di Piala Dunia Kelab. – AFP
    Pertahanan Wydad, Fahd Moufi (kiri) dan Doku bersaing untuk mendapatkan bola semasa perlawanan bola sepak di stadium Lincoln Financial Field di Philadelphia pada 18 Jun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda