PARIS, 13 Feb – Pendahulu Liga Perdana, Manchester City mempunyai skuad paling mahal dalam sejarah, menurut laporan yang diterbitkan oleh agensi pemantau bola sepak CIES.
Kajian oleh agensi yang berpangkalan di Switzerland tersebut menilai skuad Pep Guardiola dengan nilai 878 juta euro, dengan Paris Saint-Germain di tempat kedua pada 805 juta euro, selepas jendela perpindahan Januari yang menyaksikan City menyambar pertahanan tengah, Aymeric Laporte dari Athletic Bilbao dengan harga 65 juta euro.
Perpindahan termahal dunia membabitkan Neymar dari Barcelona meliputi hampir separuh daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan PSG, tetapi oleh sebab Kylian Mbappe hanya dipinjamkan, yang mana yuran perpindahan mencecah 180 juta euro perlu dibayar kepada Monaco menjelang akhir musim ini.
Ia meletakkan Guardiola sebagai pengurus pasukan paling mahal dalam sejarah.
“Apabila anda ingin bersaing di peringkat tertinggi, anda perlu berbelanja,” kata Guardiola bulan lalu.
“Ada kelab berbelanja 300 juta pound, 400 juta pound untuk dua pemain. Kami membelanjakannya untuk enam pemain.”
Dua pasukan lain yang membelanjakan lebih daripada 700 juta euro untuk membentuk skuad mereka adalah Manchester United dan Barcelona.
Pasukan-pasukan lain yang mengisi kelompok 10 teratas adalah Real Madrid di tangga keenam, Juventus kelapan dan empat kelab Inggeris iaitu Chelsea, Liverpool, Arsenal dan Everton.
Kajian itu turut mengira purata kos skuad Liga Perdana, yang mencatat nilai tertinggi 291 juta euro, jauh mengatasi kos purata skuad La Liga pada 131 juta euro. – AFP