Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    City rampas takhta epl

    LONDON, 30 Okt – Riyad Mahrez meledak gol penuh emosi, ketika memastikan Manchester City kembali merampas takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menang tipis 1-0 ke atas Tottenham, di Wembley, pagi tadi.

    Kemenangan keenam daripada tujuh perlawanan terakhir itu mengekalkan rekod tanpa kalah skuad bimbingan Pep Guardiola dan memintas Liverpool selaku pendahulu dengan kelebihan perbezaan jaringan.

    Dalam aksi pagi tadi, City berada di depan seawal minit keenam yang berpunca daripada kesilapan pertahanan Tottenham, Kieran Trippier yang tersalah agak bola tendangan jarak jauh penjaga gawang City, Ederson.

    Tandukan tidak tepat yang dilakukan Trippier membolehkan Raheem Sterling merampas bola dan mencelah masuk ke kawasan penalti tuan rumah dari arah kiri padang.

    Sterling kemudian menolak bola ke arah Mahrez dan pemain Algeria ini menyempurnakan peluang keemasan ini dengan penyudah bola rendah.

    Aksi Mahrez ketika meraikan jaringan pada perlawanan menentang Tottenham pada 29 Oktober lalu. – AP

    Mahrez mendedikasikan gol kemenangannya itu kepada bekas majikannya, Vichai Srivaddhanaprabha yang terbabit dalam nahas helikopter yang meragut nyawa pemilik Leicester berkenaan.

    Vichai terbunuh pada Sabtu lalu apabila helikopter yang dinaikinya terhempas ketika baru saja berlepas dari Stadium King Power, selepas tamat perlawanan menentang West Ham.

    Dunia bola sepak terkejut dengan insiden tragis itu dan ia amat sukar diterima Mahrez, yang menghabiskan empat musim di Leicester selain menjadi individu penting dalam kisah dongeng kelab itu menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2016.

    Pemain sayap Algeria itu menikmati hubungan yang baik dengan Vichai sebelum berhijrah ke City pada kempen ini.

    Mahrez yang masih terkejut mengakui insiden itu menyebabkan dia seperti ‘patah hati’ untuk beraksi menentang Tottenham pagi tadi.

    Namun, dia tetap beraksi kerana percaya Vichai pasti mahukannya dan selepas menyumbat gol tunggal perlawanan seawal minit keenam, Mahrez meraikannya dengan menunjukkan jari ke langit sebagai tanda kepada mendiang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda