Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    City rangkul Perisai Komuniti

    LONDON, 11 OGOS – Manchester City membalas dendam kekalahan terakhir Piala FA kepada Manchester United untuk menjulang Perisai Komuniti 7-6 menerusi sepakan penalti kelmarin, selepas seri 1-1 di Wembley.

    Perlawanan itu menjadi semakin sengit pada 10 minit terakhir apabila Alejandro Garnacho memberikan United pendahuluan sebelum Bernardo Silva menyamakan kedudukan pada minit ke-89.

    Anak-anak buah Pep Guardiola kemudiannya berjaya dalam penentuan sepakan penalti apabila Jadon Sancho dan Jonny Evans gagal menjaringkan gol untuk United.

    City telah memenangi Liga Perdana untuk rekod empat musim berturut-turut tetapi ia adalah kali pertama dalam tempoh itu mereka memenangi perlawanan pembuka musim selepas kekalahan kepada Leicester, Liverpool dan Arsenal dalam tiga tahun kebelakangan ini.

    Juara Inggeris itu terjejas teruk dengan ketiadaan beberapa pemain utama disebabkan kepulangan lewat mereka ke pramusim selepas beraksi di Euro 2024 dan Copa America.

    Trio City dari England iaitu Kyle Walker, John Stones dan Phil Foden, serta pemain tengah Sepanyol, Rodri masih belum kembali menjalani latihan berikutan usaha mereka mara ke final Euro 2024.

    Sebaliknya, bos United, Erik ten Hag menunjukkan keazaman kuat untuk memenangi lebih banyak trofi dengan meletakkan pemain remaja Kobbie Mainoo terus kembali ke tengah padang selepas peranannya yang cemerlang membintangi England di Jerman.

    Walaupun turut meninggalkan Kevin De Bruyne dan Silva di bangku simpanan, City mengawal permainan lebih awal dengan Jeremy Doku yang pantas menyebabkan kekacauan di bahagian kiri.

    James McAtee mugkin akan diberikan peluang untuk menyinar musim ini oleh Pep Guardiola dengan Julian Alvarez dijangka menyertai Atletico Madrid. – AFP

    Kevin De Bruyne menjulang trofi selepas pasukannya memenangi perlawanan bola sepak Perisai Komuniti di Stadium Wembley di London pada 10 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda