City sasar julang trofi di Lisbon

LONDON, 14 OGOS – Manchester City akhirnya berjaya mara ke pusingan kalah mati seterusnya di Liga Juara-Juara selepas membenam Real Madrid untuk mara ke pusingan separuh akhir, tetapi mereka menginginkan sesuatu yang lebih lagi di Lisbon menjelang minggu depan dengan Pep Guardiola bertegas mereka tidak boleh berpuas hati dengan hanya mengalahkan juara 13 kali itu sahaja.

“Kami di sini berusaha untuk memenangi Liga Juara-Juara,” kata Guardiola dengan nada yang berbeza dari musim sebelumnya apabila memberitahu bahawa City belum bersedia untuk dinobatkan sebagai juara Eropah meskipun mendominasi Liga Perdana Inggeris.

“Jika kami merasakan bahawa dengan menewaskan Real sudah cukup, kami menunjukkan betapa kecilnya kami. Jika kami mahu menang, kami mesti menewaskan pasukan-pasukan besar”.

City memerlukan lapan musim dalam Liga Juara-Juara untuk menewaskan bekas juara dalam dua pusingan, tetapi dengan menyingkirkan Real Madrid, sebelum dan selepas bola sepak digantungkan kerana koronavirus, telah menunjukkan mereka sudah matang dan berupaya menangani tekanan yang sebelum ini dilihat oleh pasukan Guardiola sebagai mempunyai kekurangan di kempen Liga Juara-Juara yang terdahulu.

Pertemuan dengan Lyon, yang menamatkan kedudukan di tempat ke-7 di Ligue 1 musim 2019/2020, memberikan sedikit harapan kepada City.

Tetapi dalam tiga musim kebelakangan sejak Guardiola tiba di Manchester, City dilihat sering kecundang meskipun menjadi pasukan pilihan ketika menentang Monaco, Liverpool dan Tottenham.

“Saya baru berjumpa dengan pasukan peninjau mengenai Lyon dan mereka memberitahu saya supaya berhati-hati,” Guardiola memberi amaran selepas Lyon mengejutkan Juventus dalam perlawanan 16 terakhir.

Pasukan Perancis itu turut menunjukkan kemampuan mereka dengan memungut empat dari enam mata keseluruhan menentang City di dalam pu-singan kumpulan musim lalu di Liga Juara-Juara.- AFP