PARIS, 29 SEPT – Ini merupakan saat yang dinantikan oleh peminat sejak Lionel Messi diumumkan sebagai pemain Paris Saint-Germain (PSG) hampir dua bulan yang lalu.
Pemain Argentina tampil hanya buat seketika untuk PSG dan belum berhasil untuk menjaringkan gol, namun akhirnya berjaya mencetak gol dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Manchester City, awal pagi tadi.
Pemain Argentina itu membuat serangan untuk membantu PSG mendahului 2-0 menentang pasukan Pep Guardiola pada minit ke-74, kemenangan yang memberi mesej kepada seluruh Eropah, bahkan pada awal musim ini.
Pemenang Ballon d’Or enam kali itu menerima bola di kawasan City di bahagian kanan dan berlari ke arah gawang.
Dia berjaya melepaskan Aymeri Laporte dan membuat hantaran satu-dua dengan Kylian Mbappe sebelum membuat percubaan yang menembusi gawang dari luar kotak penalti.

Guardiola – yang menyaksikan aksi memukau Messi sebelum ini menentang Barcelona semasa bersama Bayern Munich dan City – menggelar pemain itu ‘tidak dapat dihentikan’.
“Biasanya saya tidak meraikan gol, tetapi ini dapat dikecualikan,” kata pengurus PSG, Mauricio Pochettino, yang pernah menentang Messi sewaktu menjadi jurulatih Espanyol di Sepanyol.
“Saya sering menyaksikan dia menjaringkan beberapa gol apabila saya berada dipasukan lawan, untuk pertama kali saya dapat meraikan gol sebagai satu pasukan,” katanya.
Messi meninggalkan Barcelona sebagai penjaring utama sebanyak 672 gol dalam 778 perlawanan, mencatatkan rekod untuk kelab tersebut.
Sekarang dia berada di Paris dan peminat di Parc des Princes, tidak akan melupakan peristiwa ini dan berharap dia akan menjaringkan lebih banyak gol.
“Saya mengaku saya terdesak untuk menjaringkan gol pertama saya,” beritahu Messi kepada Canal Plus, yang membuat penampilan keempat untuk pasukan Pochettino.
Pemain yang berusia 34 tahun itu tiba di Paris dengan azam untuk memenangi Liga Juara-Juara, piala yang dia pernah julang bersama Barcelona pada tahun 2015.
Pasukan yang terdiri daripada Messi, Mbappe, Neymar dan Angel Di Maria, dapat membantu memberikan kemenangan kepada PSG. – AFP