Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    City tambah derita United

    MANCHESTER, 30 OKT – Erling Haaland menjaringkan dua gol ketika Manchester City menambah penderitaan Manchester United dengan kemenangan 3-0 di Old Trafford untuk membawa pasukannya hanya dua mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Tottenham.

    Haaland menjaringkan gol daripada sepakan penalti dan menanduk masuk gol kedua sejurus selepas separuh masa sebelum membantu Phil Foden meledak gol ketiga City.

    City memulakan perlawanan di luar kelompok empat teratas selepas permulaan yang agak lemah untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

    Tetapi pasukan kendalian Pep Guardiola kekal sebagai pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan liga utama Inggeris keempat berturut-turut yang belum pernah terjadi dan menunjukkan bahawa mereka berada pada tahap yang berbeza dengan pesaing tempatannya apabila mereka melonjak ke kedudukan ketiga.

    Kekalahan kelima dalam 10 perlawanan liga musim ini menyebabkan United turun di tangga kelapan, 11 mata di belakang pendahulu.

    Aksi Haaland menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan penalti semasa perlawanan Manchester United dan Manchester City di Old Trafford, Manchester, barat laut England baru-baru ini. – AFP

    “Ia sentiasa istimewa untuk kami menang di Old Trafford,” kata Guardiola.

    “Ia kelihatan mudah tetapi tidak begitu. Kami amat menghormati United. Kami berada pada tahap terbaik kami, terutamanya pada separuh masa kedua.”

    Legenda United, Bobby Charlton, sekali lagi diingati sebelum perlawanan bermula apabila pemain legenda dari kedua-dua kelab yang bermain bersama dan menentang pemenang Piala Dunia 1966 itu dialu-alukan di atas padang sebelum tepukan selama satu minit.

    Tetapi perseteruan kembali semula sebaik sahaja aksi dimulakan.

    Selepas permulaan musim yang menyedihkan, United telah memenangi tiga perlawanan sebelum ini tetapi dengan cara yang tidak meyakinkan, menentang Brentford, Sheffield United dan FC Copenhagen. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda