LONDON, 21 JAN – Manchester City kelmarin mengumumkan penandatanganan bek tengah Uzbekistan, Abdukodir Khusanov, daripada kelab Perancis, Lens, dengan bayaran yang dilaporkan sebanyak 40 juta euro (AS$42 juta) berserta bayaran tambahan.
Khusanov, pemain pertama dari Uzbekistan yang menyertai kelab Liga Perdana, telah menandatangani perjanjian empat setengah tahun di Etihad.
“Skuad ini penuh dengan pemain terbaik dunia dan saya tidak sabar untuk bertemu dan bermain bersama me-reka,” kata pemain berusia 20 tahun itu, yang mempunyai 18 penampilan antarabangsa.
“Dan sudah tentu Pep Guardiola adalah salah seorang jurulatih terhebat dan saya sangat teruja untuk belajar daripadanya dan meningkatkan lagi permainan saya,” tambahnya.
Pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain berkata, “Bagi pemain pertahanan yang begitu muda, Abdukodir sangat bijak, selain kental, agresif dan cepat.
“Bekerja dengan Pep hanya akan menjadikan dia lebih baik dan semasa bercakap dengannya, dia berazam untuk terus meningkat,” ujarnya.
Perjanjian Khusanov mengekalkannya di Etihad sehingga akhir musim 2028/29.
Juara Liga Perdana City berada di tempat keempat dalam carta liga selepas menang 6-0 di Ipswich Ahad lalu.
Penandatanganan itu memberikan pasukan Guardiola untuk memperkukuhkan pertahanan yang amat diperlukan selepas musim yang dilanda kecederaan pemain. – AFP