Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    City temui semula rentak kemenangan

    LONDON, 20 APRIL – Manchester City mengukuhkan usaha mereka untuk layak ke Liga Juara-juara dengan kemenangan dramatik 2-0 ke atas Everton.

    City kelihatan hampir terikat seri sebelum jaringan Nico O’Reilly pada minit ke-84 membuka laluan kepada kemenangan penting, yang kemudian disahkan dengan gol Mateo Kovacic pada saat-saat akhir perlawanan.

    Pasukan bimbingan Pep Guardiola kini naik ke tangga keempat, empat mata mengatasi Chelsea di tangga keenam, yang akan menentang Fulham pada Ahad dalam perlawanan tertunda mereka.

    Nottingham Forest yang berada di tempat kelima, akan berkunjung ke Tottenham pada Isnin, hanya satu mata di belakang City.

    Pada musim-musim sebelum ini, City biasanya terlibat dalam perebutan kejuaraan, namun kali ini setelah melalui musim yang hambar mereka terpaksa berjuang untuk merebut tempat ke Liga Juara-juara walaupun telah menjuarai liga dalam enam daripada tujuh musim lalu.

    Mereka kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran minimum selepas meraih kemenangan sukar di Merseyside.

    Pada minit ke-84, hantaran lintang rendah Matheus Nunes ke kawasan enam ela disambut oleh pemain muda berusia 20 tahun, O’Reilly, yang mendahului Michael Keane untuk menyentuh bola dari jarak dekat dan seterusnya menjaringkan gol.

    O’Reilly muncul sebagai wira yang tidak diduga buat City selepas pemain tengah kelahiran Manchester itu turut menjaringkan gol minggu lalu ketika membantu pasukan menewaskan Crystal Palace serta dua gol ketika menentang Plymouth dalam saingan Piala FA. – AFP

    Mateo Kovacic meraikan jaringannya semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Everton dan Manchester City di Goodison Park, Liverpool, England, pada 19 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda