City terdesak rapatkan jurang

LONDON, 24 SEPT – Manchester City bukan setakat ingin membalas dendam ketika bertemu Chelsea esok, dengan anak buah Pep Guardiola mempunyai cabaran besar dalam memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Kecewa dengan keputusan seri 0-0 di laman sendiri dalam pertemuan menentang Southampton minggu lalu menyebabkan timbul dakwaan bahawa mereka tidak memiliki penyerang berbisa bagi mengekalkan pasukan untuk bersaing dengan pencabar lain yang lebih kuat berbanding musim lalu.

Pasukan juara bertahan itu ketinggalan tiga mata di belakang Chelsea, Manchester United dan Liverpool selepas lima perlawanan pada musim ini.

Namun jurang tersebut mampu bertambah besar menjelang minggu yang mencabar dengan kunjungan ke Anfield menentang Liverpool dan pertemuan pertengahan minggu menentang Paris Saint-Germain di Liga Juara-Juara.

Thomas Tuchel menafikan kejayaan Guardiola meraih pencapaian yang diinginkan Manchester City ketika The Blues dinobatkan sebagai pemenang Liga Juara-Juara pada Mei lalu.

Kemenangan di Porto melengkapkan hatrik buat Chelsea ke atas City menjelang penghujung musim.

Satu lagi kemenangan pada hujung minggu ini bermakna Tuchel menjadi pengurus pertama untuk menewaskan Guardiola dalam empat perlawanan berturut-turut.

Permulaan cemerlang pengurus kelahiran Jerman dalam bola sepak England diteruskan pada awal musim ini.

Chelsea berjaya mengutip 13 mata daripada 15 mata penuh meskipun mengharungi perlawanan sukar di tempat lawan menentang Arsenal, Liverpool dan Tottenham. – AFP

Gambar fail, reaksi Ferran Torres meraikan gol bersama rakan sepasukan semasa saingan Piala Liga pada perlawanan pertengahan minggu. – AP