MANCHESTER, 29 JAN – Pep Guardiola berkata Manchester City akan menerima ‘cabaran’ dalam pertembungan Liga Juara-Juara yang mesti dimenangi esok menentang Club Brugge dan yakin mereka akan mara ke peringkat kalah mati.
Juara Liga Perdana itu mesti menewaskan pemenang liga Belgium di Etihad untuk mara ke peringkat playoff, melibatkan pasukan yang menduduki tempat kesembilan hingga ke-24 dalam fasa liga.
City mencatat rekod yang menghampakan dengan hanya satu kemenangan dalam 13 perlawanan dalam semua pertandingan dari Oktober hingga Disember.
Anak buah Guardiola nampaknya telah mengubah keadaan selepas memenangi empat daripada lima perlawanan terakhir mereka untuk naik semula ke empat teratas dalam Liga Premier.
Tetapi masalah lama timbul semula ketika Paris Saint-Germain bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menang 4-2.
Sebelum ini, Guardiola tidak pernah gagal untuk mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dan dia berkata kelmarin dia yakin pasukannya akan mara.
“Ia bukan masalah, ia peluang, cabaran, dan kami akan hadapinya,” katanya pada sidang media pra-perlawanannya.
Dia menambah: “Saya menjangkakan lawan yang sukar. Apabila sebuah pasukan tidak tewas dalam 20 perlawanan (daripada 21 perlawanan) ia adalah kerana mereka bagus. Tiada rahsia mengenainya.
“Tetapi setiap pasukan termasuk Manchester City, mempunyai kelemahan. Awda perlu mencari mereka dan menghukum mereka.”
Guardiola kelihatan kecewa apabila disoal mengenai kemungkinan tersingkir awal dari Liga Juara-Juara.
City kini berada di tangga ke-25 dalam carta liga selepas hanya dua kemenangan dalam tujuh perlawanan mereka.
“Tetapi, sudah tentu, kami mahu mencuba untuk melaluinya, terutamanya atas sebab sukan.”
Guardiola percaya tekanan situasi itu akan memberikan yang terbaik dalam diri pemainnya.
“Saya tahu mereka mahukannya, saya tahu betapa fokus mereka, dan saya tidak ragu kami akan melaksanakan apa yang perlu kami lakukan untuk mengharunginya, tetapi dengan bola sepak, awda tidak pernah tahu,” katanya. – AFP