Tuesday, February 4, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    City tersingkir di Piala Liga

    NEWCASTLE, 28 SEPT – Manchester City tersingkir daripada Piala Liga dengan kekalahan 1-0 di Newcastle, kelmarin ketika Arsenal, Chelsea dan Liverpool memastikan tempat mereka dalam pu-singan 16 terakhir.

    Alexander Isak menjaringkan gol tunggal di St James’ Park dalam perlawanan antara dua pasukan yang banyak melakukan perubahan pada susunan pemain mereka.

    City memenangi tiga kejuaraan iaitu, Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA musim lalu, tetapi impian untuk melampaui kejayaan tersebut dengan quadruple yang belum pernah tercapai sebelum ini telah terhenti dengan pantas.

    Erling Haaland dibiarkan di bangku simpanan oleh jurulatih City, Pep Guardiola sepanjang 90 minit dan ketiadaannya dirasai dalam persembahan pasukan yang kurang bertenaga.

    Eddie Howe juga membuat beberapa perubahan berbanding dengan kemenangan Sheffield United 8-0 pada hujung minggu.

    Aksi Bruno Guimaraes (kanan) semasa perlawanan bola sepak Piala Liga Inggeris di Newcastle, England pada 27 September. – AP

    Namun, selepas pengenalan Anthony Gordon dan Bruno Guimaraes oleh bos Newcastle pada separuh masa, tuan rumah mengambil alih kawalan.

    Isak hanya perlu menjaringkan gol melepasi tiang jauh selepas Joelinton melepasi pertahanan City.

    “Kemenangan seperti ini boleh meningkatkan kami,” kata Howe.

    “Separuh masa pertama, kami cuba menggantikan skuad dan mengekalkan kesegaran pemain. Separuh masa kedua kami pasti lebih baik, tetapi apabila awda membawa pemain seperti Anthony Gordon dan Bruno, mereka merupakan pemain tahap tinggi,” tambahnya.

    Ganjaran Newcastle adalah lawatan ke pusingan keempat untuk berdepan dengan Manchester United dalam ulangan perlawanan akhir musim lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda