Wednesday, December 25, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    City tewas buat kali keempat

    LONDON, 10 NOV- Manchester City tumbang lagi kali keempat berturut-turut setelah tewas 2-1 di Brighton walaupun mendahului pada awalnya kelmarin.

    City tidak mengalami kekalahan dalam liga selama hampir setahun sebelum tewas di Bournemouth hujung minggu lalu.

    Tetapi selepas juga disingkirkan dari Piala Liga oleh Tottenham dan juga kalah 4-1 kepada Sporting Lisbon dalam Liga Juara-Juara, Pep Guardiola telah tewas empat perlawanan berturut-turut buat kali pertama dalam karier pengurusannya yang selama ini cemerlang.

    Pada mulanya, pasukan juara liga itu kelihatan bersedia untuk bangkit daripada malam di Lisbon yang lalu apabila Erling Haaland menjaringkan gol ke-15 musim ini pada percubaan kedua selepas percubaan pertama diselamatkan oleh Bart Verbruggen.

    City bagaimanapun, banyak terdedah pada separuh masa kedua dan akhirnya dihukum oleh sepasang pemain gantian Brighton.

    Joao Pedro merembat masuk gol penyamaan selepas City gagal mengeluarkan bola dalam perebutan depan gol.

    Matt O’Riley terpaksa menunggu penampilan sulungnya di Liga Perdana selepas mengalami kecederaan buku lali yang serius beberapa hari selepas mengesahkan perpindahan dari Celtic.

    Pemain antarabangsa Denmark menghasilkan jaringan kemenangan apabila dia menerima hantaran Pedro tujuh minit sebelum tamat.

    “Kami tidak mampu melakukan 90 minit sekarang. Empat kekalahan berturut-turut. Kami perlu mengubah keadaan dengan cepat,” kata Guardiola.

    “Mungkin selepas tujuh tahun (kami) memenangi enam Liga Perdana, mungkin kali ini pasukan lain pula yang layak,” sambungnya. – AFP

    Reaksi Pep Guardiola semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Brighton dan Manchester City di Stadium Falmer di Brighton, England kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda