PETALING JAYA, 23 APRIL – Pengendali skuad Malaysia, Peter Cklamovski yakin pasukannya memiliki keupayaan mengecewakan Vietnam dalam aksi penting Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Jun depan.
Sambil mengakui kehebatan pasukan Vietnam, jurulatih dari Australia itu berkata dengan persiapan rapi serta kemantapan mental yang kuat, tidak mustahil Harimau Malaya boleh menamatkan badi kekalahan di tangan pasukan Naga Emas itu.
“Bukan mudah untuk kalahkan Vietnam tapi ia tidak mustahil. Kami akan berikan segalanya untuk mencapainya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Raya anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL) di Wisma FAM di Petaling Jaya, hari ini.
Cklamovski berkata kem latihan pusat yang dijadualkan bermula 16 Mei ini akan menjadi fasa penting bagi membolehkan para pemain mendapatkan semula kecergasan selepas melalui musim liga yang panjang, selain mempersiapkan diri dari aspek mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan berintensiti tinggi. – Bernama
