BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam (BDTA) mengumumkan Claral Goh, atlet kebangsaan Kyorugi (sparring) termuda Brunei, berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mewakili negara di Kejohanan Taekwondo Remaja Dunia Fujairah 2025 yang berlangsung dari 10 hingga 14 Mei ini.
Penyertaan itu merupakan detik bersejarah bagi Brunei, yang buat pertama kalinya menyertai Kejohanan Taekwondo Dunia peringkat G1 di kategori kadet (usia 12 hingga 14 tahun), satu langkah besar ke hadapan dalam perjalanan sukan negara.
Delegasi negara diketuai oleh Ketua Jurulatih Kebangsaan, Nikman Waie dan Jurulatih Kyorugi Kebangsaan, Park Sang Jin, individu yang berperanan besar dalam pembangunan taekwondo di Brunei. Kepimpinan mereka yang berpengalaman telah membentuk atlet muda seperti Claral, bukan sahaja dari segi teknik dan fizikal, malah dalam menerapkan nilai disiplin, semangat kesukanan dan rasa bangga terhadap negara.
Claral, yang baru sahaja mencecah usia 14 tahun, dianggap antara atlet muda paling berbakat dalam acara Kyorugi setelah menunjukkan komitmen tinggi dan prestasi cemerlang di peringkat tempatan.
“Tendang tinggi, bermimpi besar dan jadi inspirasi, perjalananmu adalah kebanggaan kami,” kata BDTA dalam kenyataan, sambil menyifatkan Claral sebagai ikon baharu yang menginspirasikan generasi muda khususnya golongan wanita untuk aktif dalam sukan seni bela diri.
BDTA turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan atas sokongan berterusan dalam membangunkan atlet muda negara serta kepada Syarikat Penerbangan Diraja Brunei atas kerjasama memudahkan urusan perjalanan delegasi negara ke UAE.
Ketika Claral melangkah ke gelanggang dunia di Fujairah, seluruh negara berdiri teguh di belakangnya, mendoakan kejayaan, kekuatan dan semangat taekwondo mengiringi setiap langkahnya. Perjalanannya baru bermula tetapi keberaniannya sudah membuat perubahan.
