Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 22 SEPT – Clarissa Cheok Zhi Ying dari Sekolah St James Kuala Belait berjaya memukau para hakim dengan makna keamanannya tersendiri menerusi poster yang dibuatnya sebagai sebahagian daripada Peraduan Poster Keamanan Antarabangsa Lions pada acara yang diadakan di Dewan Serba guna Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait, hari ini.
Pertandingan tahunan yang dianjurkan Lions Club Belait itu menyaksikan penyertaan 42 orang pelajar dari seluruh Daerah Belait, masing-masing mempamerkan tafsiran artistik tentang keamanan dunia.
Antara sekolah yang menyertai pertandingan itu ialah Sekolah St James, Sekolah St John, Sekolah Menengah Chung Hua Kuala Belait, Sekolah St Margaret, Sekolah St Angela dan Sekolah Menengah Chung Ching.
Pengerusi penganjur peraduan untuk tahun ini, Betty Phang menjelaskan bahawa pertandingan melukis tahunan itu merupakan projek di seluruh dunia yang bertujuan mempromosikan keamanan dan memberikan ruang untuk kanak-kanak menyatakan visi keamanan mereka sementara memberikan inspirasi kepada dunia melalui seni dan kreativiti.
“Tema Peraduan Poster Keamanan 2023-2024 ialah Dare to Dream. Bagi anak muda, impian bukan sekadar angan-angan, harapan atau keinginan, ia merupakan haluan, matlamat, cita-cita.
“Namun untuk mencapai impian itu memerlukan usaha gigih. Jadi tahun ini, kami meminta golongan muda untuk menunjukkan bagaimana mereka akan mengubah impian mereka tentang dunia yang aman menjadi kenyataan,” tambahnya.
Sepanjang pertandingan, para pelajar mempamerkan kemahiran seni mereka dalam mencipta tafsiran perdamaian pada poster yang kemudiannya diadili oleh jawatankuasa pada akhir pertandingan.
Antara 42 poster yang dicipta, Clarissa Cheok Zhi Ying menduduki tempat pertama keseluruhan dalam pertandingan yang menggambarkan impian keamanan dan kebahagiaan seorang kanak-kanak.
Manakala Angeline Chong Jie Lin dari Sekolah Menengah Chung Ching dan Lourrian Briedhz Crisostomo Cabahug dari Sekolah St John masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga.
Selain itu, kelab turut me-nganugerahkan lima hadiah sagu hati kepada Saanvi Umesh Phane dan Drashti Mistry dari Sekolah St Margaret, Pang Zi Xin dan Hana Chin Shu Mei dari Sekolah Menengah Chung Ching, serta Dayang Nur Syeefa Balqees binti Mohamad Basirun dari Sekolah St Angela.