KRAKOW, Poland, 30 Jun – Kuasa besar bola sepak, Jerman dan Sepanyol jelas teruja dengan pertembungan final Kejuaraan Bawah 21 tahun (B-21) Eropah yang diberi jolokan ‘clasico’ di sini, awal pagi nanti.
Sejak 2009, hanya Sweden berjaya memecahkan dominasi dua pasukan itu dengan memenangi gelaran pada 2015, selepas Jerman memenanginya pada 2009 diikuti dua kejayaan Sepanyol pada edisi 2011 dan 2013.
Kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu di peringkat kalah mati sejak 1982 namun pertembungan final mengimbau memori pertemuan di semua peringkat sebelum ini.
“Jerman adalah kuasa dunia sukan ini, kami sudah banyak kali bertemu di peringkat remaja dan senior,” kata jurulatih Sepanyol, Albert Celades (gambar).
“Ia perseteruan yang hebat, kamu hampir boleh menggelarnya ‘clasico’,” katanya merujuk kepada persaingan membabitkan dua gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona.
Dalam persaingan di Poland kali ini, Jerman menang dua perlawanan di peringkat kumpulan tetapi tewas kepada Itali, sebelum mengatasi England menerusi penentuan penalti di separuh akhir.
Sepanyol yang memenangi empat daripada enam pertemuan dengan Jerman pada aksi Bawah 21 setakat ini menang keempat-empat perlawanan di peringkat kumpulan dan separuh akhir sebelum ke final.
Ketajaman jentera serangan dilihat mampu menjadi penentu pada final nanti dengan Sepanyol dilihat mempunyai peluang lebih baik menerusi ketajaman Saul Niguez yang sudah meledak lima gol, selain tiga gol daripada Marco Asensio. – AFP