Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Claudia Sheinbaum rebut jawatan Presiden Mexico

    MEXICO, 18 SEPT – Pencabar dalam perebutan menggantikan Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador sudah mula bersiap sedia, dengan Datuk Bandar Mexico City, Claudia Sheinbaum akan bertanding untuk mencipta sejarah menjadi wanita pertama memimpin pentadbiran negara itu.

    Pilihan raya presiden tidak akan diadakan sehingga Julai 2024 dan secara rasmi, kempen masih belum bermula.

    Bagaimanapun, perang dan kempen ‘tanda suka’ sudah berlaku di media sosial antara Sheinbaum, seorang saintis, yang juga sekutu rapat Lopez Obrador dan Menteri Luar, Marcelo Ebrard.

    Mereka berharap dapat menjadi calon presiden bagi parti pemerintah Morena, yang mengadakan kongres tahunannya hujung minggu ini.

    “Seorang wanita boleh menjadi angkasawan, peguam, polis wanita, timbalan gabenor dan presiden republik,” kata Sheinbaum semasa lawatan ke luar ibu negara, baru-baru ini untuk bertemu penyokong.

    Anggota parti akan memutuskan calon mereka tahun depan dan tinjauan pendapat mencadangkan pilihan mereka akan menjadi calon untuk mentadbir selama tempoh enam tahun lagi.

    Tinjauan pendapat yang diterbitkan pada akhir Ogos oleh firma Enkoll mendapati, 35 peratus rakyat Mexico memilih Sheinbaum sebagai calon presiden mewakili parti
    Morena, berbanding 26 peratus bagi Ebrard.

    Bagaimanapun, tinjauan lain yang dikeluarkan Poligrama pada 6 September lalu menunjukkan Sheinbaum dan Ebrard berada pada kedudukan hampir sama. – AFP

    Claudia Sheinbaum Pardo melambai penyokong semasa acara pembukaan kongres negara ketiga parti Morena di litar lumba kuda Hermanos Rodriguez di Bandar Mexico pada 17 September. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...