Mengakui kesilapan mengambil bahan terlarang, penyanyi Cliff Umar memberitahu beliau menyesali perbuatannya itu.
Memetik laporan mStar, Cliff atau Abdullah Umar Joseph, 42, berkata, tindakannya mengambil dadah adalah keputusan terburuk yang pernah dilakukannya.
“Hanya Tuhan sahaja tahu saya menyesalinya.
“Jika anda ingin tahu kenapa saya buat perkara itu, saya sama seperti anda semua. Kadang-kadang saya buat pilihan buruk dalam hidup,” katanya.
Cliff berkongsi perkara tersebut menerusi hantaran di Instagram miliknya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Cliff memberitahu detik beliau ditahan atas kesalahan memiliki dadah jenis heroin pada 26 Mei lalu adalah tamparan untuk beliau mengubah hidupnya.
Malah Cliff turut menasihati masyarakat agar tidak mendekati najis dadah kerana ia bukan sahaja merugikan tetapi akan dimalukan seperti seorang penjenayah.
“Jangan ambil dadah! Melainkan anda nak dimalukan seperti seorang penjenayah dan terpampang di media sosial serta berita nasional.
“Ini adalah petanda untuk saya berubah menjadi lebih baik. Ini semua adalah terbaik untuk saya tinggalkan semua ini dan memulakan hidup baru,” jelasnya.
Penyanyi itu turut mengucapkan terima kasih kepada isterinya iaitu Anita kerana sentiasa memberi sokongan ketika beliau berdepan dakwaan memiliki bahan terlarang.
Malah Cliff memberitahu beliau pastinya akan buntu jika tanpa kehadiran isteri tersayang di sisinya.
“Jika tidak kerana awak (isteri), mungkin saya sudah tiada. Terima kasih kerana hadir dalam hidup saya. Saya tidak akan kecewakan awak lagi,” ucapnya.
Pada Khamis lalu Cliff mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam kerana memiliki dadah jenis heroin seberat 0.39 gram.
Juara program Gegar Vaganza musim ke-7 itu ditahan pihak berkuasa di Subang Jaya atas kesalahan tersebut.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,300 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan laporan kimia ditetapkan 31 Julai depan. – Agensi


