SAN FRANCISCO, 23 Mac – Cloudflare, syarikat peneraju prestasi dan keselamatan Internet hari ini mengumumkan Mobile SDK Cloudflare, penyelesaian percuma yang membolehkan sebarang pembangun aplikasi mudah alih memahami prestasi dan metrik rangkaian.
Pelanggan kecewa dengan aplikasi mudah alih yang perlahan, ranap atau memberikan ralat yang memburukkan pengalaman pengguna. Bagi pembangun aplikasi mudah alih, pengalaman pengguna yang buruk bermakna ulasan juga buruk, penggunaan lebih rendah dan penukaran metrik perniagaan juga berkurangan.
Prestasi aplikasi yang konsisten memerlukan fokus pada setiap aspek dalam proses: kod aplikasi, panggilan rangkaian antara aplikasi dan pinggir rangkaian serta infrastruktur pelayan. Terdapat beberapa penyelesaian yang memberikan analisis untuk aplikasi pembangun, tetapi belum ada cara untuk memahami berapa kerap aplikasi gagal disebabkan ralat rangkaian.
Pembangun aplikasi boleh menyepadukan Mobile SDK Cloudflare bersama aplikasi mudah alih mereka dengan mudah untuk melihat prestasi dan ralat rangkaian mereka di seluruh dunia. Mobile SDK Cloudflare ialah sampingan untuk alat pembangun sedia ada seperti Crashlytics, Rollbar, Sentry, Instabug dan lain-lain.
“Cloudflare fokus untuk membantu membina Internet yang lebih baik, daripada telefon bimbit hingga pelayan punca dan sebaliknya,” kata Matthew Prince, pengasas bersama dan CEO Cloudflare. “Kami mahu membantu pembangun aplikasi mudah alih untuk menjejak prestasi rangkaian dengan lebih mudah secara percuma, kerana hal ini baik untuk Internet.”
Sebilangan pelanggan telah menyepadukan Mobile SDK Cloudflare ke dalam aplikasi mereka.
“Cloudflare membantu kami memberikan pelanggan kami pengalaman perdagangan mata wang kripto yang lebih dipercayai,” kata Kirill Yashuk, pengasas bersama dan CTO TabTrader.
“Mobile SDK dapat disepadukan dengan aplikasi kami dengan lancar dan data mula masuk dengan cepat walaupun dalam kes penggunaan rumit.”
“Pengguna kami tidak pernah merungut tentang sambungan yang lemah; hanya aplikasi kami tidak berfungsi,” kata Ben Yule, CTO Spire.
“Selepas menyepadukan SDK, pasukan kejuruteraan kami mendapat keterlihatan yang sebelum ini tiada. Mobile SDK Cloudflare memenuhi peranan yang hilang dalam pemantauan pengalaman aplikasi.”
“Akses rangkaian memberi kesan yang besar pada pengalaman pengguna mudah alih dengan sambungan, tetapi kependaman rangkaian mudah alih selalunya 10 kali ganda lebih lama daripada kependaman masa pemprosesan pelayan dan sebahagian besarnya tidak dipantau” kata Alex Austin, CEO Branch Metrics.
“Fokus Cloudflare dalam menangani isu rangkaian mudah alih dengan usaha kejuruteraan yang minimum sangat baik untuk pengguna dan lebih baik lagi untuk para pembangun.” – Bernama