Clough sertai kelab Nakhon Ratchasima

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Bekas pemain DPMM FC Charlie Clough telah mencapai perjanjian dengan pasukan League 1 Thai Nakhon Ratchasima dan dijangka beraksi untuk kelab baharunya dalam separuh musim kedua 2021/2022.

Pemenang kelab Liga Perdana Singapura (SPL) itu mengumumkan baru-baru ini bahawa dia akan meninggalkan DPMM FC selepas tiga tahun di tengah ketidakpastian yang dicetuskan pandemik COVID-19.

Clough, yang akan menyarung jersi nombor 24, mengambil bahagian dalam perlawanan menentang Kabin United ketika kelab baharunya menghasilkan kemenangan 4-0.

Pemain kelahiran Taunton itu mencatat prestasi mengagumkan semasa musim permulaan di Brunei, memperkukuh barisan pertahanan dan membantu pasukannya menduduki tangga teratas senarai.

Beliau sentiasa beraksi dalam kempen kejuaraan dengan 23 penampilan dan menjaringkan dua gol.

Clough bergambar bersama warga pasukan Thai Nakhon Ratchasima. – Gambar serahan Nakhon Ratchasima

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 telah menjejas Clough dan DPMM FC ketika sekatan perjalanan bermakna mereka tidak dapat melaksanakan komitmen kepada musim SPL sekali gus membawa kepada dua penarikan.

Clough memeterai perjanjian baharu untuk musim 2020 tetapi DPMM FC menarik diri daripada SPL untuk musim kedua berturut-turut memetik sekatan perjalanan disebabkan pandemik.

Kepulangan Liga Super Brunei membenarkan DPMM FC dan Clough kembali semula kepada bola sepak selepas lebih setahun tanpa pertandingan.

Pemain pertahanan itu meledak lapan gol dalam lima perlawanan sebelum liga dihentikan berikutan gelombang kedua COVID-19 dalam negara pada awal Ogos.

Perlawanan liga domestik dibatalkan pada akhir bulan lalu menyebabkan kelab dan pemain yang mengambil bahagian dalam keadaan tidak pasti.

Setelah menghabiskan kebanyakan kerjayanya dalam bola sepak Inggeris, Clough akan bermain untuk kelab Asia Tenggara kedua selepas tingkap pemindahan kedua dibuka pada 8 Disember.

Clough ialah seorang daripada enam pemain asing yang mewakili kelab pada musim ini selain pemain Ivory Coast Amadou Ouattara, pemain Ghana Kwame Karikari, pemain Jepun Shintaro Shimizu dan pasangan Filipina Dennis Villanueva dan Dylan De Bruycker.

Pemain berusia 31 tahun itu juga akan bermain untuk Swat Cats dalam saingan Piala FA Thai dan Piala Liga Thai pada musim ini.

Kelab itu, yang meraih kejuaraan Liga Divisyen 1 Thai – tingkat kedua bola sepak profesional di Thailand – pada 2014, kini menduduki tangga ke-10 dalam liga.