LONDON, 31 Ogos – Coca-Cola akan merapatkan jurang dalam portfolionya dengan pemerolehan jenama kopi Costa daripada firma Britain Whitbread dengan harga tunai 3.9 bilion pound.
Perjanjian itu mewakili satu pulangan yang besar untuk Whitbread, yang membeli Costa pada tahun 1995 dengan harga 19 juta pound. Sejak itu, Costa telah berkembang daripada 39 kedai untuk menjadi firma kopi terbesar di Britain. Dalam beberapa tahun ini, Whitbread telah banyak melabur dalam perkembangan Costa di luar negara.
James Quincey, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola, berkata hari ini Costa akan memberikan syarikat ‘keupayaan dan kepakaran baharu dalam kopi.’
“Costa memberikan Coca-Cola keupayaan untuk mewujudkan peluang bagi mengembang jenama Costa di seluruh dunia.

“Minuman panas merupakan salah satu daripada beberapa segmen baharu dalam landskap minuman keseluruhan di mana Coca-Cola tidak mempunyai jenama global. Costa memberikan kami kemasukan kepada pasaran ini dengan platform kopi yang kukuh.”
Kopi ialah segmen perniagaan minuman global yang penting dan berkembang pesat.
Di seluruh dunia, kopi masih merupakan satu pasaran yang masih tidak jelas dan tidak ada satu syarikat yang beroperasi dalam semua format di dunia. Sementara itu, Pengarah Urusan Costa Dominic Paul berkata dia dan kumpulan Costa amat gembira untuk menyertai Syarikat Coca-Cola.
“Costa ialah perniagaan hebat dengan rakan yang komited, rekod prestasi yang baik dan potensi global yang besar. – AP