WASHINGTON, 17 JULAI – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kelmarin berkata syarikat minuman gergasi Coca-Cola telah bersetuju untuk menukar penggunaan sirap jagung fruktosa tinggi kepada gula tebu dalam produk utama mereka, Coke, di pasaran AS atas cadangannya, lapor agensi berita Jerman dpa.
“Saya telah berbincang dengan Coca-Cola tentang penggunaan gula tebu sebenar dalam Coke di AS dan mereka telah bersetuju,” tulis Trump dalam platform media sosialnya, Truth Social.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak pengurusan di Coca-Cola. Ini langkah yang sangat baik oleh mereka. Awda akan lihat nanti. Ia memang lebih baik!”
Dalam kenyataan berasingan, Coca-Cola mengucapkan terima kasih kepada Trump atas, “semangat beliau terhadap jenama ikonik Coca-Cola” dan berkata pihaknya akan berkongsi, “butiran lanjut mengenai inovasi baharu dalam rangkaian produk Coca-Cola” tidak lama lagi, tanpa mengesahkan sebarang perubahan pada ramuan.
Di beberapa negara seperti Mexico dan Australia, Coca-Cola dihasilkan menggunakan gula tebu, tidak seperti versi di AS yang menggunakan sirap jagung fruktosa tinggi yang lebih murah dan tahan lama.
Trump sendiri dikenali sebagai peminum Diet Coke, versi tanpa gula yang menggunakan pemanis tiruan.
Sementara itu, saham syarikat Archer-Daniels-Midland, pengeluar utama sirap jagung, telah jatuh kira-kira enam peratus dalam dagangan selepas waktu pasaran AS susulan pengumuman Trump. – Bernama,dpa


