JOHOR BAHRU, 7 Jan – Pelangi Network Management Sdn Bhd, pengusaha produk coklat tempatan jenama CocoDamia, akan menembusi pasaran coklat halal di Jepun dalam tempoh kurang daripada empat tahun akan datang memandangkan terdapat permintaan dari negara matahari terbit itu.
Pengarah Urusan Zamzarina Zakaria berkata peluang itu timbul ketika pihaknya menyertai Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA 2017, melalui kerajaan negeri Johor, di Kota Kinabalu, Sabah, November lepas.
“Di forum itu, pihak kami berpeluang bertemu dan berbincang bersama-sama syarikat berkenaan. Saya difahamkan Jepun sedang mencari produk halal untuk memenuhi kapasiti mereka yang akan menerima pelancong dan atlet dari seluruh dunia susulan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo pada 2020 nanti,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, dalam perbincangan awal tersebut, wakil syarikat Jepun berkenaan menyuarakan minat untuk memasarkan produk CocoDamia selepas melihat potensinya.
Wanita berusia 37 tahun itu berkata, forum tersebut telah memberi manfaat kepada usahawan seperti beliau terutama dalam usaha memperluaskan rangkaian perniagaan, khususnya dengan penyertaan bukan sahaja usahawan tempatan malah antarabangsa seperti dari Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Azerbaijan.
Memulakan perniagaan coklat hanya dari rumah, Zamzarina bermodalkan RM10,000 sahaja dengan dibantu suami dan memasarkan produk mereka melalui media sosial selain menerima tempahan untuk pelbagai majlis keraian. Bersandarkan perniagaannya yang dimulakan pada 2013, syarikat itu kini mampu meraih pendapatan bulanan melebihi RM30,000. – Bernama