Friday, April 25, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Coklat arnab unik bawa keceriaan

    SINT-PIETERS BRUGGE, BELGIUM – Pembuat coklat Dominique Persoone berdiri dengan perasaan sayu di lantai kerjanya, koko yang semerbak baunya masih menyelubungi mesin terbiar – dalam kenangan masa yang lebih baik.

    Easter Sunday lazimnya merupakan tarikh paling penting dalam kalender pembuat coklat. Namun pandemik koronavirus, dengan ‘lockdown’ dan penjarakan sosial, telah memberikan tamparan hebat kepada industri coklat Belgium bernilai 5 bilion euro.

    “Satu perkara yang tidak baik akan berlaku,” beritahu Persoone kepada The Associated Press menerusi topeng muka. Beliau menutup kedainya sebagai langkah berjaga-jaga beberapa minggu lalu, dan berkata banyak pembuat coklat Belgium, daripada multinasional kepada kedai kampung, akan berdepan krisis kewangan.

    Untuk dibelenggu koronavirus adalah satu perkara, namun terjadi pada Easter, apabila arnab dan telur coklat didapati di merata tempat, memburukkan lagi krisis. Namun di tengah kemelut yang dihadapi, penduduk Belgium membenarkan diri mereka bersikap sambil lewa menjelang cuti Easter.

    Sesetengah pengeluar, seperti The Chocolate Line, menawarkan telur dan arnab Easter dalam topeng perubatan, sementara pakar virologi terkenal negara secara berseloroh telah memberikan pas lockdown kepada pekerja yang sepatutnya membawa telur Easter kepada kanak-kanak.

    Genevieve Trepant menghiasi coklat arnab di kedainya Cocoatree, Lonze, Belgium. – AP

    “Orang suka coklat mereka, telur Easter, telur berisi, corak yang kami hasilkan,” kata pembuat coklat Marleen Van Volsem di kedai Praleen di Halle, selatan Brussels. “Ia benar-benar merupakan sesuatu yang amat bermakna bagi kami.”

    Negara itu mempunyai penggunaan coklat per kapita tahunan sebanyak enam kilogram, kebanyakannya dimakan semasa Easter.

    “Ia adalah musim yang besar disebabkan jika kami tidak mempunyainya, maka kami tidak dapat bertahan untuk tahun tersebut,” kata Van Volsem.

    Persoone memperoleh kira-kira 20 peratus daripada hasil pulangan tahunan dalam tempoh satu minggu Easter. Tahun ini, jualan web dan pengambilan di kilangnya di barat Belgium sementara kedai mewahnya di bandar pelancong Bruges dan Antwerp ditutup? “2 peratus mungkin, jika kami bernasib baik.”

    Guy Gallet, ketua persekutuan coklat Belgium, menjangka pendapatan akan merosot mendadak pada tahun ini.

    Beliau berkata syarikat yang menjual terutamanya menerusi pasar raya akan memperoleh pendapatan yang agak lumayan tetapi firma yang bergantung pada jualan di lokasi pelancong, restoran dan kedai lapangan terbang ‘akan terjejas teruk.’

    Persoone mempunyai pelanggan tempatan yang setia tetapi tahu pelancong akan menjejas pendapatan banyak pembuat coklat.

    “Sudah tentunya, kami tidak akan melihat warga Jepun atau Amerika yang datang ke Belgium untuk cuti,” kata beliau. “Saya risau jika kami tidak menerima pelancong lagi, ia akan menjadi satu mala petaka, walaupun pada masa depan.”

    Untuk kebanyakan orang, koronavirus mengakibatkan gejala ringan kepada sederhana seperti demam dan batuk. Namun bagi sesetengah orang, terutamanya warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan, ia boleh mengakibat pneumonia dan dalam sesetengah kes maut.

    Cabaran yang dihadapi adalah menghidupkan seni kreativiti pembuatan coklat dalam masa sukar ini.

    Yang penting adalah humor dan penggunaan topeng muka yang dibuat daripada coklat putih. Persoone meletakkan ciri-ciri unik ini di atas telur.

    “Ia ketawa dengan situasi tidak menyenangkan. Dan di samping itu, kami masih boleh berseronok, bukan? Adalah pen-ting untuk ketawa dalam hidup.”

    Genevieve Trepant dari kedai coklat Cocoatree di Lonzee, tenggara Brussels, juga bersetuju. Dan seperti Persoone, yang menyumbang gel kebersihan yang tidak diperlukan dalam kilangnya kepada sebuah hospital tempatan, Trepant juga memikirkan mereka yang memerlukan.

    Demikianlah terhasilnya Lapinou Solidaire dan rakannya Lapinou Confine – Arnab Prihatin dan Arnab Kuarantin, kedua-duanya dihiasi dengan topeng putih. Pelanggan digalakkan untuk menghadiahkan coklat arnab Trepant berharga 12 euro kepada kakitangan perubatan tempatan untuk menunjukkan sokongan mereka. Sebahagian daripada hasil kutipan akan disalurkan kepada badan kebajikan.

    Salah seorang pakar koronavirus terkenal juga tahu mengenai faedah gelak ketawa dari segi perubatan. Profesor Marc Van Ranst memberitahu kanak-kanak Belgium bahawa coklat arnab mereka tidak menimbulkan risiko.

    Sambil berseloroh, beliau memberitahu penyiar awam VRT bahawa kerajaan telah menimbang secara serius isu menghantar coklat arnab kepada kanak-kanak dalam masa yang sukar ini, yang mencari-cari di seluruh Belgium pada masa apabila ia dilarang kepada orang awam.

    “Coklat arnab akan dihantar ke rumah ibu bapa, bukan datuk nenek,” yang lebih mudah terdedah kepada COVID-19, kata Van Ranst. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda