Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Coklat ‘hardware tools’ tarikan kafe SINCE 18’S

    KUALA LUMPUR – Pengunjung yang kali pertama melangkah ke kafe SINCE 18’S di Taman Desa di sini, pasti terpegun melihat beberapa alat seperti perengkuh (spanner), penukul dan skru disusun kemas di dalam peti sejuk pencuci mulut.

    Namun, siapa sangka semua perkakasan itu sebenarnya adalah kepingan coklat yang merupakan snek istimewa dan menjadi identiti kafe tersebut sejak ia diperkenalkan tujuh tahun lepas.

    Selain coklat dengan pelbagai bentuk perkakasan pertukangan, turut dihasilkan coklat berupa alat solek seperti gincu, berus mekap, minyak wangi dan palet pembayang mata.

    Pemilik kafe SINCE 18’S, Bridget Wong berkata inspirasi menghasilkan coklat berbentuk perkakasan tercetus ketika merantau selama enam bulan untuk menziarahi kakaknya yang bermastautin di United Kingdom (UK).

    “Ketika di UK, saya mengambil peluang mengikuti kursus Barista kerana ingin belajar cara membancuh kopi dengan betul dan berhasrat membuka sebuah kafe apabila balik ke tanah air.

    Bridget Wong mendapat inspirasi ketika merantau selama enam bulan di UK. – Bernama
    Coklat berbentuk skru. – Bernama
    Nampak seperti perengkuh dan skru, tetapi ini sebenarnya coklat. – Bernama
    Coklat berupa alat solek. – Bernama
    Jangan tersilap… alat-alat tersebut sebenarnya adalah coklat. – Bernama

    “Sepanjang berada di sana, saya teruja melihat konsep masyarakat yang menjual coklat berupa perkakasan ini ada di mana-mana restoran atau kafe sehingga menarik minat saya. Jadi, apa salahnya saya membawa konsep sama ke Malaysia,” katanya.

    Bekas pekerja bank berusia 36 tahun itu berkata coklat yang dihasilkan bersama suami menggunakan acuan pelbagai reka bentuk dan memerlukan sehingga enam jam bagi menghasilkan kira-kira 20 kepingan coklat berupa perkakasan setiap hari.

    “Coklat yang dihasilkan sepenuhnya daripada acuan tanpa menggunakan mesin, prosesnya lagi rumit dan perlu berhati-hati terutama ketika mengeluarkan coklat dari acuan, ia mungkin boleh patah bagi yang reka bentuk berisiko tinggi seperti playar dan gunting,” katanya.

    Wong berkata kebanyakan pelanggan yang berkunjung ke kafenya membeli coklat tersebut untuk dijadikan hadiah istimewa hari perkahwinan, hari lahir, hari perayaan atau sebagai kejutan kepada seseorang.

    “Harganya pula dijual antara RM15 hingga RM29 bergantung kepada jenis rupa bentuk coklat,” katanya dan menambah selain coklat, kafenya yang memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga menyediakan masakan tempatan dan barat. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...