LONDON, 7 MEI – Pasukan Formula Satu (F1) Alpine mengumumkan pelantikan pelumba simpanan, Franco Colapinto bagi menggantikan Jack Doohan untuk sekurang-kurangnya lima perlumbaan Grand Prix (GP) akan datang.
Perubahan itu disahkan pasukan hari ini, sehari selepas ketua pasukan, Oliver Oakes meletak jawatan. Menurut kenyataan rasmi Alpine, Flavio Briatore akan terus bertindak sebagai penasihat eksekutif dan kini mengambil alih tugasan Oakes.
“Colapinto akan bergandingan bersama Pierre Gasly bermula di GP Emilia-Romagna dan akan dinilai semula menjelang GP British pada Julai,” menurut kenyataan pasukan.
Setakat ini, Alpine berada di kedudukan kesembilan dalam carta keseluruhan konstruktor selepas enam pusingan perlumbaan musim ini. GP seterusnya dijadual berlangsung pada 16 hingga 18 Mei di Imola.
Doohan gagal menyinar dalam tujuh penyertaan GP, dengan pencapaian terbaik sekadar di tempat ke-13. Di GP Miami Ahad lalu, dia melanggar sebuah kereta lain pada pusingan pertama sebelum terbabas pada pusingan kedua.
Sebelum ini, Oakes menafikan laporan berhubung pertukaran pelumba menjelang GP Miami dan memberi bayangan bahawa pelumba muda dari Australia itu akan kekal.
Jack Doohan, anak kepada juara dunia motosikal lima kali, Mick Doohan, memulakan kerjaya F1 pada saingan terakhir musim 2024 dan diberi peluang bermula tahun ini di GP Australia selepas menggantikan Esteban Ocon yang meninggalkan pasukan berikutan prestasi hambar musim lalu. – AP
