Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Colchester impi benam United

    LONDON, 1 NOV – Pengerusi kelab divisyen empat, Colchester United melahirkan rasa gembiranya diundi bermain di laman Manchester United pada suku akhir Piala Liga Inggeris dan menyatakan “anda hadir dalam kancah bola sepak untuk berdepan hari-hari sebegini.”

    Colchester – pasukan di ranking paling bawah masih kekal bersaing dalam pertandingan itu – kalah dua kali bertemu United: 0-1 pada pusingan kelima Piala FA 1978-79 dan 0-2 pada pusingan ketiga Piala Liga 1983-84.

    Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan keseronokan mereka dengan prospek bermain di Old Trafford.

    Selepas menyingkirkan naib juara Liga Juara-Juara musim lalu Tottenham Hotspur pada pusingan ketiga, Colchester berhasrat untuk mengecapi satu lagi kemenangan mengejut.

    “Setiap orang gembira dengan undian ini,” kata pengerusi mereka Robbie Cowling kepada BBC.

    “Anda bersaing dalam pertandingan bola sepak untuk berdepan hari-hari sebegini. Kami akan menikmati setiap saat.”

    Juara bertahan Manchester City turut berdepan pasukan bawahan apabila mereka bertandang ke kelab divisyen tiga Oxford United – yang menyingkirkan Manchester United pada pusingan keempat edisi 1983-84.

    Dua lagi aksi mempertemukan pasukan Liga Perdana Inggeris dengan Aston Villa melayan kunjungan Liverpool dan Everton menanti Leicester City di Goodison Park. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda