Colin Powell meninggal dunia pada usia 84

WASHINGTON, 18 OKT – Colin Powell, 84, seorang bintang perang Amerika Syarikat (AS) dan setiausaha negara pertama berkulit hitam yang menyaksikan legasinya tercemar ketika terlibat dalam kes perang di Iraq pada 2003, telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19.

Jeneral empat bintang yang bersara itu sudah menerima vaksin lengkap, kata keluarganya dalam kenyataan di Facebook, menjadikannya salah seorang tokoh awam AS paling berprofil tinggi yang meninggal dunia akibat jangkitan itu.

“Kita telah hilang suami, ayah, datuk yang penyayang dan seorang warga Amerika yang hebat,” kata keluarganya.

Selepas mengatur kemenangan tentera dalam Perang Teluk 1991, Powell semakin popular dan dihormati serta dianggap sebagai calon kuat untuk menjadi presiden AS berkulit hitam yang pertama.

Berkhidmat di bawah empat presiden, Powell mengekalkan reputasinya sebagai lelaki terhormat yang tidak terlibat dalam pertikaian politik – suatu aset dalam koridor kuasa.

Dilahirkan pada 5 April 1937 di Harlem, ‘American Journey’ Powell – tajuk autobiografinya – bermula di New York, di tempat beliau membesar dan merangkul ijazah dalam jurusan geologi.

Beliau berkahwin dengan isterinya Alma pada tahun 1962 dan mempunyai tiga anak, Michael, Linda dan Annemarie. – AFP

Gambar fail bertarikh 5 Februari 2003 menunjukkan Setiausaha Negara AS, Colin Powell. – AFP