Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Collins bantu Utah kalahkan Mavericks

    LOS ANGELES, 15 NOV – John Collins menjaringkan dunk kemenangan dengan hanya berbaki enam saat memberikan Utah Jazz kemenangan dramatik ke atas Dallas Mavericks kelmarin, sekaligus memberikan kekalahan keempat berturut-turut kepada Mavericks.

    Mavericks, yang tewas dengan hanya satu mata dalam perlawanan sebelumnya, sekali lagi mengalami kekalahan yang menyakitkan apabila Utah meraih kemenangan tipis, 115-113.

    Collins mengetuai senarai penjaring Utah dengan 28 mata, 13 daripadanya dijaringkan dalam kebangkitan pada suku ketiga yang menyaksikan Jazz mengatasi Dallas 38-21 untuk mendahului sebanyak 16 mata pada satu ketika.

    Tetapi Mavericks, yang didorong oleh persembahan Luka Doncic dengan 37 mata, bangkit bersaing dalam suku keempat yang dominan yang menyaksikan mereka mendahului 110-108 dengan hanya berbaki kurang dua minit.

    Collins menjaringkan tip-in dunk ketika berbaki 37 saat untuk meletakkan Utah kelebihan tiga mata dengan 113-110, tetapi Klay Thompson menyamakan kedudukan 113-113 dengan lontaran tiga mata dari jarak 28 kaki.

    Namun, ketika masa tambahan hampir dimulakan, Jordan Clarkson memanfaatkan kelemahan pertahanan Dallas untuk mencari Collins di bawah jaring, dan pemain penyerang itu tidak melakukan kesilapan untuk menamatkan perlawanan dan memastikan kemenangan yang membantu Utah meningkatkan rekod mereka kepada 3-8, satu tangga di atas kedudukan terbawah Western Conference. Sementara itu, Dallas jatuh ke 5-7 selepas kekalahan itu.

    Collins merupakan salah seorang daripada enam pemain Utah yang mencatatkan angka dua mata, dengan Clarkson menyumbang 20 mata penting dari bangku simpanan, manakala Colin Sexton menambah 16 mata.

    Doncic menjadi penjaring terbaik untuk Dallas, yang beraksi tanpa Kyrie Irving. Thompson pula menambah 17 mata, termasuk lima lontaran tiga mata.

    Ketua jurulatih Mavericks, Jason Kidd meluahkan kekecewaannya terhadap tabiat pasukannya yang sering memulakan perlawanan dengan perlahan. – AFP

    Aksi Collins (kanan) semasa permainan bola keranjang NBA di Salt Lake City pada 14 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda