COLOGNE, 4 JUN – Lebih 20,000 penduduk dipindahkan dari sebahagian pusat bandar Cologne hari ini ketika pasukan pakar bersiap sedia untuk menyahaktif tiga bom tidak meletup milik Amerika Syarikat dari era Perang Dunia Kedua yang ditemui awal minggu ini.
Meskipun sudah 80 tahun berlalu sejak perang tamat, bom yang tidak meletup hasil serangan udara semasa perang masih sering ditemui di Jerman.
Proses pelupusan bom seperti itu kadangkala memerlukan pemindahan besar-besaran atas faktor keselamatan, seperti yang berlaku hari ini, namun lokasi kejadian kali ini dianggap luar biasa kerana melibatkan kawasan penting dan menjadi operasi evakuasi terbesar Cologne sejak 1945.
Beberapa bandar lain pernah melaksanakan pemindahan yang lebih besar.
Pihak berkuasa pada pagi hari ini memulakan pemindahan kira-kira 20,500 penduduk dari kawasan dalam radius 1,000 meter dari lokasi bom, yang ditemui pada Isnin lalu ketika kerja-kerja persediaan pembinaan jalan dijalankan.
Bom tersebut ditemui di daerah Deutz, terletak bertentangan dengan pusat bersejarah Cologne di seberang Sungai Rhine.
Selain kawasan kediaman, kawasan yang terlibat merangkumi 58 buah hotel, sembilan buah sekolah, beberapa muzium dan bangunan pejabat serta stesen kereta api Messe/Deutz.
Ia turut melibatkan tiga jambatan merentasi Sungai Rhine termasuk jambatan kereta api Hohenzollern yang sibuk dan menghubungkan ke stesen pusat Cologne, yang akan ditutup sepanjang kerja nyahaktif dijalankan. Pengangkutan kapal di Sungai Rhine juga akan dihentikan sementara.
Kerja-kerja nyahaktif dijangka berlangsung sepanjang hari, bergantung kepada seberapa cepat pihak berkuasa dapat memastikan semua individu telah keluar dari zon pemindahan. – AP


