KAZAN, 1 Julai – Pertahanan Colombia, Carlos Sanchez menegaskan negara Amerika Selatan itu bukan pasukan pilihan pada aksi menentang England “negara yang mencipta bola sepak”, apabila kedua-dua pasukan bertemu pada pusingan kedua Piala Dunia. Jurulatih England, Gareth Southgate merehatkan lapan pemain utamanya pada aksi terakhir peringkat kumpulan ketika tewas 0-1 kepada Belgium, membolehkan mereka bertemu lawan dari Amerika Selatan itu berbanding pasukan ranking lebih rendah, Jepun.
Keputusan itu bermakna mereka mengelak laluan lebih sukar, yang turut menampilkan Brazil dan Perancis. Pemenang pertemuan England dan Colombia di Moscow akan menanti pemenang antara Switzerland dan Sweden, namun England perlu mengatasi lawan yang mara ke suku akhir pada edisi 2010 itu.
“Kami bukan pasukan pilihan, kami menentang pasukan yang mencipta bola sepak,” kata Sanchez, pemain tengah Espanyol berusia 32 tahun.
“Namun kami mempunyai kekuatan tersendiri dan sebaik perlawanan bermula, perkara yang paling penting adalah di tengah padang. Perlawanan sebegini hanya dipisahkan dengan sedikit perbezaan. Tiada apa yang ditakuti Colombia.”
Kem Colombia berdiam diri dengan tahap kecergasan penjaring terbanyak Piala Dunia 2010, James Rodriguez yang terpaksa dikeluarkan pada aksi terakhir kumpulan menentang Senegal, kelihatan seperti kecederaan pangkal paha yang berulang.
“James pemain yang hebat namun saya pasti jika dia tidak dapat beraksi, ada pemain lain yang mampu membantu pasukan,” katanya. – AFP