Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Colombia kerah 2,500 tentera elit tumpaskan gerila

    TORIBIO, COLOMBIA, 31 OKT – Kerajaan Colombia semalam mengarahkan pengerahan 2,500 tentera elit untuk menentang gerila FARC selepas satu serangan yang membunuh pemimpin penduduk asli dan empat pengawal.

    Pertubuhan penduduk asli negara bagi pihak mereka mengutuk ‘pembunuhan’ penduduknya dan menyeru demonstrasi dilancarkan.

    Presiden Ivan Duque menuduh gerila yang menolak perjanjian perdamaian 2016 dengan kerajaan yang menamatkan konflik bersenjata separuh abad ingin menggunakan ‘senjata untuk menutup mulut dan menakutkan komuniti penduduk asli.’

    Sebagai respons, beliau mengumumkan penubuhan 2,500 tentera elit yang mempunyai misi mengawal wilayah, ‘menutup jalan penyeludupan dadad’ dan ‘merobohkan’ pertubuhan penentang.

    Pemimpin Persatuan Penduduk Asli Colombia (ONIC) sementara itu berkata penduduknya ‘dianiayai dan dibunuh.’

    Sanak saudara menangis semasa upacara pengebumian untuk lima pengawal yang terbunuh dalam serangan oleh pemberontak berdekatan tempat pemeriksaan di Tacueyo, kawasan luar bandar Toribio, Cauca, Colombia, kelmarin. – AFP

    “Kami menggesa semua masyarakat Colombia supaya berdiri teguh untuk mempertahankan kehidupan, hak dan wilayah,” kata Luis Fernando Arias, penasihat tertinggi ONIC, pada persidangan akhbar di Bogota.

    Kumpulan penduduk asli dijangka berarak bersama kesatuan, petani dan pelajar pada 21 November ketika satu mogok ke atas dasar kerajaan.

    ONIC juga berusaha menjemput ‘lawatan luar biasa’ daripada Suruhanjaya Antara Amerika mengenai Hak Asasi Manusia dan Pelapor Khas PBB mengenai Hak Penduduk Asli, Victoria Tauli-Corpuz.

    Pertubuhan itu mahu memaparkan ‘situasi terdesak kemanusiaan, sosial dan ekonomi’ dan meminta Duque supaya ‘menamatkan pertumpahan darah’ berpunca daripada komuniti penduduk asli yang menolak tuntutan penyeludup dadah untuk mengambil bahagian dalam perniagaan haram itu.

    Pemimpin komuniti Nasa Cristina Bautista dan empat anggota pengawal penduduk asli dibunuh oleh pemberontak di satu kawasan Cauca di barat daya yang diletak di bawah kuasa penduduk asli.

    Mereka di kawasan itu berkata mereka merancang tinggal di tanah mereka meskipun menerima tekanan daripada kumpulan bersenjata yang memaksa mereka dalam penyeludupan haram. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda