MIAMI, 18 MEI – Kerajaan Colombia telah memohon untuk menyertai sebuah bank pembangunan yang berpangkalan di China, satu lagi petanda di mana rantau Amerika Latin semakin menjauhi pengaruh Amerika Syarikat (AS), tatkala pemotongan bantuan luar, sekatan perdagangan dan tindakan keras terhadap imigresen oleh pentadbiran Trump mendorong ramai pemimpin serantau menjalin hubungan lebih rapat dengan pesaing geopolitik Washington.
Presiden Colombia, Gustavo Petro menamatkan lawatannya ke China minggu ini dengan persinggahan di Shanghai, di mana beliau bertemu dengan bekas Presiden Brazil, Dilma Rousseff, yang kini mengetuai Bank Pembangunan Baharu.
Pemberi pinjaman multilateral itu ditubuhkan sedekad lalu sebagai projek bersama negara-negara BRICS iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan yang merupakan pasaran membangun utama, sebagai alternatif kepada institusi yang didominasi AS seperti Bank Dunia dan Bank Pembangunan Inter-Amerika.
Menurut Rousseff, setakat ini Bank Pembangunan Baharu telah meluluskan pinjaman untuk 122 projek infrastruktur berjumlah lebih AS$40 bilion dalam bidang seperti pengangkutan, sanitasi dan tenaga bersih.
Petro, ketika bercakap kepada wartawan di China pada Sabtu, berkata Colombia komited untuk membeli saham berjumlah AS$512 juta dalam bank itu.

Beliau turut menyatakan sokongannya terhadap potensi mendapatkan sokongan bank tersebut bagi pembinaan terusan atau laluan kereta api sepanjang 120 kilometer yang menghubungkan pantai Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik Colombia yang dikatakan akan meletakkan negara itu di ‘pusat’ perdagangan antara Amerika Selatan dan Asia.
Jabatan Negara AS minggu ini menyatakan mereka akan ‘menentang sekeras-kerasnya’ pembiayaan projek yang berkaitan dengan Inisiatif Jalur dan Laluan China di Amerika Latin.
Petro menyertai inisiatif tersebut semasa sidang kemuncak bersama pemimpin berhaluan kiri dari Brazil dan China.
Petro, bekas gerila berhaluan kiri, berkata beliau tidak akan tunduk kepada tekanan dari AS dan menegaskan bahawa Colombia mahu kekal berkecuali dalam era baharu persaingan geopolitik ini.
“Kami membuat keputusan ini secara bebas,” kata Petro kepada wartawan dari Shanghai. “Dengan AS, kami boleh berbincang secara bersemuka, dengan China juga.” – AP