Saturday, November 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Colosseum Rom jadi arena gladiator semula

    ROM, 15 NOV – Colosseum Rom yang bersejarah akan menjadi lokasi pertarungan gladiator, walaupun sekadar lakonan, buat kali pertama dalam tempoh dua milenia, menerusi perjanjian tajaan bernilai AS$1.5 juta dengan Airbnb, di mana kerjasama itu bertujuan mempromosikan pelancongan yang lebih mampan.

    Namun, sebahagian pengunjung monumen itu serta aktivis perumahan telah mempersoalkan nilai perjanjian tersebut kelmarin. Mereka membangkitkan isu berterusan mengenai peranan platform sewaan jangka pendek dalam menyumbang kepada pelancongan berlebihan dan mengehadkan perumahan mampu milik untuk penduduk dan pelajar.

    Melalui perjanjian yang diumumkan oleh Airbnb dan pihak Colosseum pada Rabu, tajaan itu akan membiayai pembaharuan program pendidikan di dalam amfiteater kuno itu, termasuk sejarah struktur tersebut serta kehidupan gladiator.

    Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, lapan pengguna Airbnb bersama seorang tetamu masing-masing akan berpeluang menyertai pertarungan gladiator tiruan selepas waktu penutupan Colosseum pada 7 dan 8 Mei. Mereka juga akan melalui laluan bawah tanah yang sama seperti digunakan gladiator zaman dahulu untuk memasuki arena.

    Permohonan boleh dilakukan mulai 27 November tanpa sebarang bayaran, dan peserta akan dipilih melalui cabutan undian.

    Pengawas Taman Arkeologi Colosseum, Alfonsina Russo memaklumkan kepada Associated Press bahawa kerjasama itu adalah bertepatan dengan pelancaran filem baharu arahan Ridley Scott, Gladiator II, yang ditayangkan di Itali, semalam.

    Russo menyifatkan perjanjian tajaan itu sebagai salah satu daripada beberapa inisiatif yang dirancang untuk membantu membiayai projek-projek di taman arkeologi tersebut. – AP

    Para pelancong berjalan di hadapan Colosseum Rom purba, di Rom. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda