Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Comcast buat bidaan tinggi untuk Sky

    LONDON, 28 Feb – Syarikat gergasi kabel Amerika Syarikat (AS), Comcast menyertai dalam bidaan untuk memperoleh kumpulan televisyen satelit seluruh Eropah, Sky pada kelmarin, menawarkan harga yang lebih tinggi daripada 21st Century Fox milik Rupert Murdoch, di mana cita-cita pengambilalihan telah ditentang oleh kerajaan United Kingdom (UK).

    Dalam satu pengumuman mengejutkan sebelum pasaran saham London dibuka, Comcast mengemukakan tawaran wang tunai tidak formal sebanyak 12.50 pound sesaham untuk Sky, atau lebih daripada 22 juta pound pada keseluruhannya.

    Ia adalah lebih daripada 10.75 pound sesaham atau 11.4 bilion pound yang telah ditawarkan oleh Fox untuk 61 peratus daripada Sky yang belum dimilikinya.

    Pengumuman itu dan prospek perang bidaan telah menyebabkan harga saham Sky meningkat hampir 21 peratus di Bursa Saham London.

    “Kami ingin memiliki seluruh Sky dan kami akan memperoleh lebih 50 peratus daripada saham Sky,” kata Ketua Eksekutif dan Pengerusi Comcast, Brian L. Roberts.

    Gambar fail pada 20 September 2012 menunjukkan paparan tanda Sky di bangunan ibu pejabat British Sky Broadcasting (BSkyB) di barat London, England. Comcast menyertai 21st Century Fox dalam membuat bidaan untuk memperoleh kumpulan televisyen satelit seluruh Eropah, Sky pada 27 Februari 2018. – AFP

    “Kami yakin kami akan menerima kelulusan daripada badan pengawal.”

    Sebagai tindak balas, Sky menasihat pemegang saham supaya jangan mengambil tindakan tanpa bidaan formal.

    Sementara itu, 21st Century Fox berkata mereka masih komited kepada tawaran tunainya untuk Sky.

    “Kami mendapati tidak ada tawaran kukuh yang telah dilakukan oleh Comcast pada masa ini,” tambahnya dalam kenyataan pendek.

    Penganalisis meramalkan tawaran yang lebih tinggi.

    “Sky ialah aset berharga untuk Murdoch maka ia mungkin berubah menjadi satu perang bidaan,” kata penganalisis Kumpulan London Capital Jasper Lawler.

    Perkembangan baru berlaku selepas pengawal pertandingan Britain memutuskan bahawa tawaran Fox ‘tidak menarik minat orang awam’.

    Pada tahun 2016, 21st Century Fox membida hampir dua pertiga daripada Sky yang belum dimilikinya, namun satu pengambilalihan penuh telah ditangguh disebabkan kebimbangan kerajaan UK. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda