Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    COMCEC tumpu transformasi digital, sistem pembayaran kalangan negara OIC

    ISTANBUL, 4 NOV – Cabaran serta cadangan untuk menggubal dasar berkaitan transformasi digital sistem pembayaran dalam kalangan negara anggota antara isu yang menjadi tumpuan pada persidangan ekonomi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang sedang berlangsung.

    Kumpulan Kerjasama Kewangan Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) berkata ancaman keselamatan siber, kekal sebagai cabaran utama untuk sistem pembayaran lanjutan di negara anggota yang mempunyai tahap pembangunan sistem pembayaran yang telah matang dan maju.

    Sesi itu berlangsung di Pusat Kongres Lutfi Kirdar di Istanbul dari 2 hingga 5 November, disertai delegasi dari negara anggota OIC, serta pemerhati dan wakil Sekretariat Agung OIC, institusi yang bergabung dengan OIC dan organisasi antarabangsa yang lain. Acara itu akan dirasmikan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

    Kumpulan kerja itu juga berkata pematuhan syariah terhadap semua aspek ekosistem pembayaran digital bagi institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam memerlukan pertimbangan lebih lanjut.

    Selain itu, kumpulan kerja turut membangkitkan perkara berkaitan penembusan Internet dan infrastruktur rangkaian mudah alih yang terhad di beberapa negara membangun, khususnya di kawasan luar bandar, yang menyekat pengembangan dan penggunaan sistem pembayaran digital.

    Ia berkata sesetengah negara juga masih mengekalkan budaya pembayaran tunai dan untuk mengalihkan budaya itu kepada pembayaran digital memerlukan usaha berterusan dalam pendidikan dan insentif, seperti diskaun untuk pembayaran digital atau kempen kesedaran yang menonjolkan faedah pembayaran digital.

    Oleh itu, kumpulan kerja COMCEC mengesyorkan agar membangunkan rangka kerja saling kendali untuk sistem pembayaran digital dalam kalangan negara anggota OIC. – Bernama

    Recep Tayyip Erdogan menyampaikan ucapan ketika merasmikan sesi ke-40 COMCEC OIC, di Pusat Kongres Lutfi Kirdar di Istanbul, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda